Kesihatan mental adalah satu aspek kesihatan yang penting di dalam memupuk kehidupan yang sejahtera di dalam masyarakat.
Usaha mewujudkan masyarakat sejahtera memerlukan pengembelingan tenaga pelbagai pihak, termasuklah profesional terlatih dalam bidang psikologi dan kaunseling.
Laporan terkini melaporkan bilangan ahli psikologi terlatih di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat terhad dan tidak mencukupi dalam menyediakan perkhidmatan kepada pihak yang memerlukan.
Dilaporkan nisbah kaunselor-klien di negara ini ialah 1:52000, berbanding dengan nisbah yang wajar iaitu 1:500.
Kajian National Health Morbidity Survey (NHMS, 2015) menunjukkan kadar masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa yang berusia 16 tahun dan ke atas di negara ini meningkat daripada 11% pada 1996 kepada 29% ketika kajian dijalankan.
Dapatan daripada NHMS (2019) menunjukkan sejumlah 2.3% atau lebih kurang setengah juta penduduk dewasa di Malaysia mengalami masalah kemurungan, terutamanya dalam kalangan wanita dan individu berlatar belakang sosio ekonomi B40.
Perubahan cara hidup, kemunculan isu-isu baharu dalam masyarakat atau kewujudan wabak penyakit seperti Covid-19 di seluruh dunia mencetuskan pelbagai isu berkaitan tekanan perasaan dan kerisauan dalam kalangan masyarakat.
Semakin ramai individu yang memerlukan sokongan psikososial dalam menghadapi masalah yang diakibatkan senario tersebut.
Kehilangan pekerjaan, hilang punca pendapatan, pergolakan rumah tangga, cubaan membunuh diri dan sebagainya adalah gejala yang muncul sebagai akibat kewujudan senario tadi.
Walaupun wujud pelbagai gejala atau isu psikososial yang perlu ditangani, bilangan ahli psikologi dan kaunselor terlatih tidak mencukupi untuk menawarkan perkhidmatan yang diperlukan untuk mengurus fenomena tersebut.
Oleh yang demikian, profesion ahli psikologi perlu diperkasakan di negara ini untuk menawarkan khidmat kepada mereka yang memerlukan serta membendung pelbagai isu psikososial daripada menjadi lebih serius.
Untuk memberi bantuan psikologi kepada masyarakat, bidang pekerjaan ahli psikologi amat diperlukan. Untuk menceburi bidang ini, seseorang perlu memiliki minimum ijazah sarjana dalam satu pengkhususan psikologi sebelum boleh diiktiraf sebagai ahli psikologi.
Perlu ditekankan, ahli psikologi terdiri daripada mereka yang terlatih dalam pelbagai pengkhususan.Antaranya psikologi industri, psikologi pendidikan, psikologi kanak-kanak dan remaja, psikologi kesihatan, psikologi sukan, forensik, klinikal, kaunseling dan lain-lain.
Ahli psikologi yang mendapat latihan khusus untuk menyediakan intervensi psikologi dan perkhidmatan kaunseling ialah ahli psikologi klinikal dan ahli psikologi kaunseling.
Ahli psikologi klinikal perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana dalam bidang psikologi klinikal dan perlu mendaftar dengan Persatuan Ahli Psikologi Klinikal Malaysia. Siswazah yang memiliki ijazah pertama dalam bidang psikologi belum lagi terlatih dan berkelayakan untuk menjalankan perkhidmatan psikologi klinikal.
BELUM LAYAK
Justeru, walaupun ramai lepasan ijazah psikologi di negara ini, mereka belum layak berperanan sebagai ahli psikologi klinikal. Selain itu, profesion yang penting dalam membantu mengurus dan merawat isu psikologi di negara ini ialah kaunselor.
Selain memperoleh ijazah sarjana muda atau sarjana dalam bidang kaunseling, seorang kaunselor juga perlu diiktiraf sebagai kaunselor berdaftar oleh Lembaga Kaunselor Malaysia.
Isu kekurangan ahli psikologi klinikal menyebabkan waktu menunggu yang lama bagi klien mendapatkan penilaian kesihatan mental, diagnosis dan rawatan di hospital kerajaan. Untuk mengatasi kekurangan ahli psikologi dalam menangani isu kesihatan mental, beberapa langkah segera perlu diambil.
Siswazah psikologi digalakkan menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan pengkhususan psikologi klinikal atau kaunseling.
Penyelarasan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi, pihak kerajaan, persatuan psikologi dan pembiaya adalah perlu. Pihak universiti boleh menyediakan program latihan intervensi yang khusus melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Graduan psikologi diberikan latihan intensif untuk mempersiapkan mereka dengan kemahiran asas kaunseling. Usaha ini boleh dilaksanakan kerana bukan semua kes kesihatan mental memerlukan bantuan profesional daripada ahli psikologi klinikal atau pakar kaunseling, atau pakar psikiatri.
Anggota masyarakat dilatih dengan kaedah intervensi psikologi walaupun mereka bukan dalam bidang psikologi. Mereka boleh dilatih menyediakan perkhidmatan pertolongan cemas psikologi (Psychology First Aid) dan sokongan psikososial.
Pelatih perlu berkhidmat di bawah penyeliaan kaunselor atau ahli psikologi terlatih. Perkhidmatan ini tidak boleh dikategorikan sebagai perkhidmatan kaunseling tetapi perkhidmatan sokongan psikososial.
Keperluan untuk menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial semakin meningkat dalam masyarakat. Ini memerlukan penambahan bilangan ahli psikologi klinikal dan kaunselor. Profesion ini harus diperkasakan dengan mengambil langkah tertentu untuk melatih graduan bidang psikologi.
Antaranya menawarkan latihan profesional kepada mereka di peringkat pasca ijazah dalam bidang pengkhususan psikologi yang diperlukan oleh negara ini. Ini termasuklah psikologi klinikal dan psikologi kaunseling.
Ini penting untuk menghasilkan lebih ramai individu yang kompeten dan terlatih dalam membantu individu yang memerlukan bantuan berkaitan psikologi dalam kalangan masyarakat.
- Dr. Mardiana Mohamad, Penolong Profesor di Jabatan Psikologi, Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM.










