SUASANA pagi raya di mahligai keluarganya tidak pernah sunyi.
Sentiasa ada drama-drama kecil yang mencuit hati dan keletah spontan lebih-lebih lagi semasa sesi bergambar Aidilfitri.
Walaupun kecoh, setiap detik itu tetap meninggalkan memori manis yang kekal dalam ingatan Pengarah Eksekutif Naza Group, Nur Nadia Tan Sri SM Nasimuddin, 40.
“Biasanya, pada pagi raya, kami adik-beradik akan berkumpul di rumah keluarga untuk bermaafan diikuti dengan sesi bergambar yang sudah menjadi tradisi sejak bertahun-tahun.
“Sesi itu tidak semudah disangka kerana macam-macam hal berlaku contohnya ada anak-anak merengek, kain baju tercabut atau mengantuk sehingga enggan bergambar.
“Untuk mendapatkan gambar yang sempurna, hakikatnya pelbagai drama kecil terpaksa diuruskan tetapi itulah yang menjadikan pagi raya kami berwarna-warni dan penuh kenangan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Kata Nur Nadia, amalan bergambar raya itu juga dibuat bagi memenuhi permintaan bonda tersayang, Puan Sri Zaleha Ismail, 74.
Gambar-gambar itu kemudiannya dicetak dan diabadikan di ruangan khas di rumah.
“Emak suka menatap kembali gambar-gambar raya kami, apatah lagi setiap tahun ahli keluarga semakin ramai dan anak-anak kian membesar.
“Memori manis ini sekurang-kurangnya dapat menceriakannya yang kini didiagnosis dengan Alzheimer.

“Inilah satu sebabnya yang membuatkan kami adik-beradik berusaha mengekalkan tradisi berkumpul dan bergambar di pagi raya,” katanya sebak.
Selepas sesi bergambar yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 1 petang, mereka kemudiannya melayan kunjungan sanak saudara dan sahabat handai yang berkunjung ke rumah.
Indah raya di kampung
Walaupun Aidilfitri kini meriah dengan kehadiran anak-anak, Nur Nadia mengakui suasananya jauh berbeza berbanding ketika beliau masih kecil.
Dahulu, lebaran diraikan dengan pulang ke kampung Allahyarham bapanya, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Katanya, kemeriahan mula terasa sejak malam raya apabila seluruh keluarga berkumpul, berbuka bersama, melaungkan takbir dan bermaafan antara satu sama lain.
Justeru, Nur Nadia berusaha mendidik anak-anaknya agar terus menghargai nilai dan semangat Aidilfitri dengan mengekalkan amalan berkunjung, bermaafan serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Menjadi rutin keluarga besar ini untuk bercuti beramai-ramai pada hari kedua Aidilfitri.

Namun, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan ke pertengahan tahun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Hubungan kekeluargaan kami sangat rapat dan selagi ada peluang, kami mahu mencipta memori manis bersama, terutama dengan emak.
“Walaupun tiada tradisi pulang ke kampung, saya tetap mendidik anak-anak yang raya adalah masa untuk bersama keluarga.
“Tahun lepas, kami ke Phuket dan untuk percutian akan datang, kami masih belum memilih destinasinya.
“Saya masih ingat pesanan arwah abah supaya kami sentiasa menjaga emak,” kata anak bongsu daripada lima beradik ini.
Ibu pilih warna baju
Mengulas mengenai tema baju raya, katanya, pemilihan warna ditentukan oleh ibunya bagi memastikan semua ahli keluarga tampil seragam.
Kali ini, rona yang dipilih adalah pastel iaitu ice blue berbanding tahun lalu nuansa ungu kebiruan, future dusk.
“Daripada dulu sampai sekarang, emak memang suka kami pakai sedondon di pagi raya.
“Biasanya saya beli pakaian sedia pakai (RTW) untuk diri sendiri dan anak-anak, sebab sekarang banyak pilihan yang cantik serta mudah,” katanya.
Dari segi juadah Syawal pula, ujarnya, menu wajib di rumah mereka adalah rendang, ketupat dan kuah kacang.
Sebelum ini, sebahagiannya adalah hasil air tangan ibunya, yang memasak dengan penuh kasih sayang untuk setiap ahli keluarga.
“Tetapi sekarang emak kurang sihat, jadi kami tidak mahu membebankannya untuk memasak.
“Tambahan pula, kadang-kadang tetamu ramai dan lebih mudah menempah katering sahaja.
“Untuk kuih-muih raya pula, saya ambil sahaja dari kafe saya, Dotty’s Pastries and Coffee (Dotty’s),” katanya.
Air suam rahsia kecantikan
Ketika temu bual ini, Nur Nadia hanya tampil dengan solekan tipis namun sudah cukup untuk menyerlahkan keanggunannya.
Ibu kepada empat anak ini mengakui jarang bersolek dan lebih selesa mengekalkan penampilan semula jadi.
Tidak hairanlah, kulit wajahnya sihat dan mulus tanpa sebarang cela.

“Saya tiada apa-apa amalan khusus, mungkin kerana saya banyak minum air suam yang membuatkan kulit kekal lembab.
“Sejak kecil emak memang mementingkan minum banyak air suam,” kata suri hati Hamzah Alang Azman.
Selain itu, beliau juga menitikberatkan pengambilan makanan sihat dan aktif bersenam bagi menjaga kesihatannya.
Rutin senaman di gimnasium dilakukan di sebelah pagi sebelum menghantar anak-anak ke sekolah.
“Jika ada masa terluang, saya suka melakukan aktiviti seni kraf, contohnya membuat buku skrap bersama anak-anak.
“Hobi ini dilakukan sejak remaja lagi, dan sekarang ia jadi lebih menyeronokkan apabila dapat dilakukan bersama si kecil,” katanya.











