Pameran seni Celebrate Differences yang berlangsung sempena Bulan Kesedaran Autisme membawa mesej yang cukup mendalam pada anak-anak istimewa. Setiap individu, walau berbeza cara berfikir dan melihat dunia, mempunyai keunikan yang patut diraikan.
Program ini menghimpunkan 17 orang artis muda yang menghidap autisme bersama keluarga dalam satu galeri yang penuh warna, ekspresi dan kasih sayang. Di sebalik karya-karya yang dipamerkan, tersirat perjalanan penuh cabaran, ketabahan dan cinta daripada ibu bapa yang tidak pernah berputus asa dalam membimbing anak-anak syurga mereka.
Pameran yang dianjurkan oleh Program Special Talented Artists Rise Together (START) ini diasaskan oleh Rohani Ahmad pada tahun 2022. Program ini diinspirasikan oleh pengalamannya sendiri dalam membimbing kerjaya seni anaknya, Danial Kushairi, seorang artis muda autisme.
Melihat ketiadaan program khusus untuk membangunkan bakat seni golongan ini, beliau tampil dengan inisiatif untuk membantu ibu bapa menjadi mentor dan pengurus kepada bakat anak-anak mereka.
“Misi utama START adalah untuk membimbing ibu bapa cara menjadi pengurus kepada kerjaya seni anak.
“Bukan semua keluarga mampu menghantar anak ke kelas seni, jadi kami ajar bagaimana bakat itu boleh diasah di rumah. Kami juga bantu mencari platform untuk pameran dan yang paling penting, menyediakan ruang yang selesa untuk anak-anak ini berkarya dengan sokongan terapis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Antara kisah kejayaan yang cukup menyentuh hati ialah perkembangan Muaz Z yang sudah berkarya hingga ke luar negara.
“Dulu Muaz hanya melukis dinosaur dan banyak mencoret, tetapi hari ini hasil karyanya sudah dipamerkan hingga ke Jakarta dan Jepun,” katanya.
START juga mendapat sokongan penuh daripada galeri seni Inner Joy Art Gallery serta penaja utama Commerce Dot Com.-UTUSAN










