Demam panas dengan suhu tinggi mencecah 40 darjah celsius menyebabkan tubuh kecil itu menjadi sawan.
Siapa sangka, sejak serangan itu, hingga kini, hospital bagaikan rumah kedua buat Muhammad Amsyar Ahmad Syauqi, 5.
Ibu Amsyar, Nadiah Ramlan, 37, berkata anaknya disahkan menghidap Infantile Epilepsy, sejenis sawan yang jarang ditemui.
Penghidapnya berisiko mengalami kecacatan dan gangguan tumbesaran perkembangan serius sepanjang hayat.
Mengimbau kenangan, kata Nadiah, Amsyar dilahirkan normal namun mengalami demam kuning pada usianya dua minggu.
“Seminggu ditahan di Hospital Banting, doktor mengambil air tulang belakang Amsyar namun gagal mengenal pasti punca penyakit. Atas nasihat doktor, Amsyar dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Hampir sebulan Amsyar jadi penghuni HKL,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kes Amsyar dirujuk ke Doktor Pakar Neurologi. Waktu itu keadaan Amsyar sangat kritikal dengan pelbagai jenis sawan menyerangnya.
Hancur luluh hati seorang ibu melihat keseluruhan tubuh kecil anaknya berselirat wayar dan tiub selain diberikan alat bantuan pernafasan.
“Doktor memberitahu, Amsyar perlu menjalani beberapa siri ujian klinikal perubatan antaranya Electroencephalography (EEG), Magnetic Resonance Imaging (MRI), Lumbar Puncture ( LP ) serta terakhir ujian sampel genetik. Sampel berkenaan perlu di hantar ke Jepun untuk dianalisis bagi memperincikan sebenar penyakit Amsyar.
100 kali sawan
Ketika mendapat tahu penyakit Amsyar, nafas Nadiah bagaikan terhenti.
“Sungguh saya tidak menyangka akan diuji seberat ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari mahupun malam saya menangis.
“Emosi saya terganggu. Dengan keadaan diri yang masih berpantang. Fikiran saya menjadi kusut dan berkecamuk. Paling meruntun hati saya apabila setiap kali diserang sawan, Amsyar akan menangis kuat bermula selepas maghrib hingga menjelang waktu subuh.
“Pernah sekali lebih 100 kali sawan menyerangnya pada setiap lima minit sekali. Saya bagaikan kehilangan kata-kata dan tidak mampu bersuara apabila melihat seluruh anggota badannya mengalami kekejangan,” luahnya pilu.
Nadiah yang berkhidmat sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), pada masa sama turut berjuang menghabiskan pengajian pada peringkat Doktor Falsah.
Akuinya situasi berkenaan menyebabkan dia hampir menoktahkan pengajian lantaran menjaga Amsyar, namun terikat dengan syarat peraturan biasiswa.
TULIS e-BOOK
Nadiah dan suami, Ahmad Syauqi Ibrahim 38, turut dikurniakan dua anak lelaki Ahmad Muiz,9 dan Ahmad Naufal,8.
“Saya pernah terdetik menyalahkan takdir Illahi, namun segera beristighfar.
“Saya kini lebih banyak berkawan dengan kalangan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa. Menerusi komuniti ini, kami boleh berkongsi cerita, ilmu dan bertukar pandangan antara satu sama lain. Boleh dikatakan saya banyak belajar daripada pengalaman mereka lalui,” katanya.
Nadiah kini mampu tersenyum apabila Amsyar yang menjangkau usia lima tahun, kian sihat. Apa yang membahagiakan dirinya apabila penyakit sawan permata hatinya itu kian berkurangan kecuali apabila demam dan sembelit.
“Amsyar perlu makan ubat anti sawan mengikut jadual ditetapkan doktor selain menepati temu janji susulan pada setiap tiga hingga empat bulan,” katanya.
Sebagai bukti kecintaan, Nadiah menulis sebuah e-book tentang kisah anak syurganya yang, Amsyar Anakku Yang Teristimewa dan sambutan menggalakkan.
Hasil jualan e-book digunakan untuk membeli kereta sorong dan peralatan khusus untuk memudahkan pergerakan Amsyar.










