Dari peniaga bazar ke pakar piknik - Utusan Malaysia

Dari peniaga bazar ke pakar piknik

ANTARA majlis sambutan hari jadi secara piknik yang diadakan di ruang acara, Nak Cikit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan menjual nasi ayam buttermilk di bazar Ramadan, siapa sangka hala tuju perniagaan Wan Harith Azfar Mohd. Zamuri, 28, berubah sekelip mata.

Lepasan Diploma Komunikasi Korporat Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) itu kini bergelar pemilik ruang acara piknik, Nak Cikit, di Setia Alam, Shah Alam.

Menceritakan detik mula terlibat dalam perniagaan berkenaan, Wan Harith Azfar menjelaskan idea itu tercetus secara spontan selepas perniagaan nasi yang diusahakan kurang mendapat sambutan.

Selepas meniaga di bazar Ramadan sejak 2021, dia dan isteri, Qistina Amira Rohaizad, 26, memberanikan diri membuka restoran.
Keputusan itu dibuat bagi mengambil alih lokasi kedai spa yang diusahakan keluarga isterinya.

“Perniagaan spa mentua ditutup, jadi kami memanfaatkan unit itu dengan membuka restoran, malangnya sambutan agak perlahan kerana kedudukan yang terletak di tingkat satu premis rumah kedai.

“Pelbagai cara dilakukan untuk menarik pelanggan termasuk menawarkan perkhidmatan sewaan untuk acara khas. Daripada situlah juga timbul ilham untuk membuka ruang piknik berkonsepkan dalaman atau indoor,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berbekalkan modal RM20,000 pasangan suami isteri itu mengubah perniagaan makanan dan minuman (F&B) diterajui mereka kepada bidang acara.

Bagi menjimatkan kos pengubahsuaian, kerja-kerja rekaan dalaman bertemakan taman itu dilakukan sendiri oleh Qistina Amira yang mahir melukis.

Walaupun masing-masing tiada pengalaman atau latar belakang dalam bidang acara, tetapi bukan halangan untuk mereka meneruskan perniagaan piknik secara indoor itu.

Nak Cikit mula beroperasi pada Januari 2022. Ia mendapat sambutan hangat bagi penganjuran majlis antaranya hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan himpunan keluarga.

Eratkan ikatan

Lokasi ini tidak sekadar tempat acara, sebaliknya platform mengeratkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan dalam kalangan pelanggannya.

Wan Harith Azfar berkata, membesar dalam keluarga yang gemar berkumpul secara tidak langsung menguatkan motivasinya untuk mengusahakan perniagaan yang lain daripada lain itu.

Katanya, walaupun perniagaan ruang acara sudah sinonim di negara ini, namun yang berkonsepkan piknik dalaman belum pernah diperkenalkan.

“Rata-rata rakyat Malaysia suka berpiknik tetapi tidak tahan dengan terik matahari terutama yang mempunyai anak kecil.

“Nak Cikit menyediakan penyelesaian kerana pelanggan dapat bersantai tanpa perlu memikirkan risiko cuaca panas atau hujan, malah keselamatan golongan kanak-kanak lebih terjamin dan mereka bebas bergerak dengan selesa,” katanya.

Menurut Wan Harith Azfar, ruang acara berkonsepkan taman itu mampu memuatkan seramai 45 orang dalam satu-satu masa.

Katanya, sambutan menggalakkan daripada pelanggan, mendorongnya membuka satu lagi ruangan di tingkat dua untuk kapasiti 60 orang.

“Ruangan baharu itu mula dibuka sejak tiga bulan lalu dengan menampilkan konsep langit, awan dan rumah pokok bagi mencipta pengalaman menyeronokkan kepada pelanggan terutama kanak-kanak.

“Ramai pelanggan terkejut dengan konsep yang kita perkenalkan dan mereka tidak sangka ada kemudahan yang selesa serta comel sebegini untuk meraikan insan tersayang,” katanya yang meraih pendapatan bulanan kira-kira RM30,000.

Laris kerana privasi

Perniagaan ruang acara semakin laris kerana kalangan masyarakat lebih mementingkan soal privasi dalam penganjuran majlis.

Perkara itu dititikberatkan pelanggan terutama selepas pandemik Covid-19 melanda.

“Pendekatan ini dapat mengelak mereka bercampur dengan orang ramai dan memberi lebih keselesaan kepada keluarga serta tetamu.

“Jika mengadakan majlis di restoran, ada kemungkinan anak-anak menangis, berlari atau melompat hingga menimbulkan gangguan kepada pelanggan lain,” katanya.

Tiada pekerja, masak sendiri

Pasangan suami isteri ini selesa menguruskan perniagaan mereka secara berdua tanpa pekerja.

Wan Harith Azfar berkata, walaupun perniagaan F&B sudah berakhir, namun dia masih lagi memasak jika pelanggan mahukan sajian dalaman Nak Cikit.

Pelanggan menempah ruangan boleh memilih pakej berserta bufet atau membawa sendiri hidangan masing-masing.

“Semua menu dimasak sendiri manakala khidmat pekerja sambilan hanya diambil apabila acara berlangsung,” katanya.

Mencipta kelainan, Nak Cikit mengangkat permainan papan dan tradisi seperti congkak, batu seremban serta karom buat para pelanggan.

Keunikan itu secara tidak langsung mengembalikan nostalgia zaman dahulu kala dan memupuk kemesraan sesama ahli keluarga.

Pendekatan itu turut dapat mengelak kanak-kanak daripada leka bermain gajet dan berinteraksi antara satu sama lain.

Mengenai perancangan masa depan, pemuda berasal dari Negeri Sembilan ini akan membuka satu lagi ruangan baharu di tingkat bawah.

“Kami juga dalam proses mengeluarkan produk khas kanak-kanak seperti carta hafazan al-Quran.

“Langkah mengembangkan perniagaan itu kerana aktiviti ruang acara lazimnya hanya berlangsung pada hujung minggu.

“Dengan adanya produk kanak-kanak itu sekurang-kurangnya dapat memanfaatkan masa kami selain menguruskan acara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN