Bahaya terselindung sebalik makanan viral - Utusan Malaysia

Bahaya terselindung sebalik makanan viral

WARNA dan persembahan makanan viral sering memikat hati pelanggan untuk mencubanya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Makanan viral di media sosial menjadi rebutan orang ramai yang gemar mencuba hidangan luarbiasa rupa dan persembahannya.

Namun ramai tidak menyedari dalam setiap makanan dan minuman yang menarik itu mengandungi bahan bahaya mengancam kesihatan.

Antaranya pewarna tiruan, pengawet, perisa tiruan dan gula yang tinggi. Kesemuanya membahayakan kesihatan apabila dimakan dalam jumlah berlebihan dan dalam jangkamasa panjang.

Pensyarah & Dietitian, Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zahara Abdul Manaf berkata, pewarna tiruan boleh memberikan kesan buruk terutama ke atas kanak-kanak.

Ia boleh meningkatkan hiperaktiviti kanak-kanak, masalah alahan dan lebih membimbangkan dikaitkan dengan risiko penyakit kanser.

“Pewarna dan perisa tiruan lebih murah dan mudah digunakan berbanding pewarna dan perisa asli. Lantaran itulah ia mendorong peniaga lebih banyak menggunakan bahan ini. Tambahan pula kurang kesedaran dalam kalangan pelanggan untuk menolak makanan mengandungi bahan-bahan ini,” katanya mengulas mengenai poster amaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai makanan viral yang boleh mengundang obesiti.

Pilih pewarna selamat

Pewarna yang selamat adalah pewarna semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan seperti pandan, kunyit, bunga telang, serbuk coklat asli dan buah-buahan.

Dr. Zaharah berkata, jika perlu menggunakan pewarna dalam sesetengah makanan, pilih pewarna yang diperbuat daripada pati tumbuh-tumbuhan.

“Baca label sebelum membeli. Kurangkan jumlah pewarna tiruan daripada masuk ke dalam badan dengan mengurangkan pengambilan makanan terproses,” katanya.

Ujarnya bahan pengawet dibenarkan juga tidak semestinya selamat.

Katanya individu rasa selamat sebab dilabel ditulis pengawet yang digunakan adalah pengawet yang dibenarkan.

“Pertimbangkan sebelum makan makanan terbabit. Hakikatnya, pengawet itu masih boleh membahayakan kesihatan dalam jangka masa panjang terutama jika dimakan dengan kerap.

“Sebagai contoh, air balang perisa strawberi. Biasanya ramuan yang digunakan adalah perisa strawberi, pewarna tiruan, pengawet, gula yang tinggi daripada krimer manis.

“Kadang-kala ditambah pula dengan buah strawberi yang disira dalam sirap dan ais krim menjadikan ia berkalori tinggi,” katanya.

Punca obesiti

Antara punca mengapa ramai dalam kalangan golongan muda menghidap tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi serta obesiti ialah kerana mereka suka mencuba makanan viral.

Gaya hidup kurang aktif dan banyak duduk serta lebih gemar menggunakan gajet pada masa lapang berbanding bersenam lebih memburukkan keadaan.

Dr. Zaharah berkata, makanan viral juga biasanya terdiri daripada makanan terproses, contohnya menu corndog yang terdiri daripada sosej disalut dengan keju, sebuk roti dan di cicah dengan pelbagai jenis sos.

“Ramuan sosej itu sendiri, biasanya ia mengandungi bahan pengawet, perisa tambahan, pewarna dan garam yang tinggi. Dalam serbuk roti ada pewarna, perisa dan pengawet. Dalam sos pun ada pengawet, perisa tambahan, pewarna dan garam yang tinggi,” katanya.

Penggunaan keju melimpah di atas burger atau makanan lain juga boleh meningkatkan kandungan lemak dan garam dalam makanan.

Saiz besar tingkat kalori

Saiz makanan viral yang besar turut menarik selera orang ramai.
Ini menyebabkan kecenderungan untuk makan berlebihan.
Dr. Zahara berkata, lebih besar saiz makanan, kandungan gula, lemak atau minyak juga bertambah. Kandungan kalori juga akan lebih tinggi daripada saiz hidangan biasa.
“Contohnya air minuman yang dijual dalam plastik ikat tepi dan di letak dalam mangkuk atau air yang dihidang dalam baldi kecil akan mengandungi kandungan kalori lebih tinggi daripada minuman yang dihidang dalam gelas saiz biasa.
“Ini disebabkan oleh isipadu air itu lebih banyak. Jadi, gula yang digunakan juga perlu banyak. Begitu juga dengan makanan seperti donut saiz kecil berbanding saiz jumbo. Kalori akan bertambah lagi banyak jika donut itu ditambah dengan inti manis, disalut gula dan coklat,” katanya.
Umumnya, jumlah maksimum pengambilan gula sepatutnya tidak melebihi lapan hingga 10 sudu teh gula sehari.
Jumlah ini termasuklah daripada sumber minuman dan makanan.
Pengambilan gula dan krimer manis menyumbangkan kepada masalah obesiti dan diabetes.

Berikut ringkasan jumlah manisan dalam makanan dan minuman:
Dalam satu bungkus teh ais limau mengandungi 10 sehingga 12 sudu teh gula. Gula lagi banyak jika minuman itu ditambah krimer manis, sirap, caramel, madu atau ais krim.

Sebiji donut mengandungi sekurang-kurangnya tiga sudu teh gula. Gula lebih tinggi jika ditambah inti coklat, jem, mentega kacang dan macam-macam perisa lagi.

Penggunaan krim juga sering digunakan dalam minuman dan pastri. Kandungan utama krim adalah lemak dan ia tinggi kalori. Di mana, sesudu besar krim mengandugi 50 kilokalori dan terdapat sesudu teh lemak di dalamnya.

Gula dan garam berlebihan

Walaupun ramai yang tahu bahaya pengambilan gula, garam, minyak atau lemak yang tinggi tetapi tidak ramai yang sanggup mengurangkan jumlah pengambilannya.

Ada juga yang tidak tahu makanan viral yang dimakan tinggi semua bahan ini.

Tambahan pula makanan sedia dimakan yang dibeli tidak mengandungi label.

Dr. Zaharah berkata, secara amnya makanan terproses seperti pizza, keropok, mi segera, sausej, burger, nuget, yong taufu tinggi kandungan garam.

“Kebanyakan orang tahu garam dalam bentuk garam pasir yang digunakan untuk memberi rasa masin sahaja.

“Penggunaan garam dalam makanan sebenarnya ada dalam tiga bentuk utama. Garam digunakan untuk memberi rasa masin, memberi perisa omami (rasa sedap) dan sebagai pengawet dengan nama yang berbeza tetapi semuanya mengandungi natrium atau sodium di dalam sebatiannya,” katanya.

Natrium inilah yang boleh meningkatkan tekanan darah kita bila diambil berlebihan.

Contohnya semangkuk ramen boleh mengandungi 2000 miligram (mg) garam.

“Ini adalah jumlah maksima garam untuk satu hari.

“Bayangkan berapa banyak garam kita makan sehari jika satu mangkuk ramen sudah mengandungi semua kuota maksima garam harian kita,” ujarnya.

Sementara itu katanya, masakan panas seperti mi goreng, nasi goreng, claypot juga tinggi garam kerana ditambah pelbagai jenis sos dan kicap semasa dimasak.

“Dua keping pizza biasanya mengandungi 2/3 sudu garam. Jika kita suka makanan yang dijual di luar, kemungkinan besar pengambilan garam, gula dan lemak harian kita melebihi saranan,” katanya.

Kajian di Malaysia menunjukkan lapan daripada 10 orang mengambil garam melebihi saranan dengan purata sebanyak 1.6 sudu teh (7.9 gram) sehari. Saranan pengambilan garam adalah tidak melebihi satu sudu teh atau 5 gram sehari.

Justeru, Dr. Zahara menasihatkan orang ramai supaya lebih cakna dengan kandungan dalam makanan dan minuman.

BACA & FAHAM LABEL

Makanan yang kita beli bukan setakat untuk nampak cantik di mata dan dikongsi dalam sosial media, tetapi yang lebih penting adalah makanan itu sihat dan selamat untuk badan kita.

Dr. Zaharah berkata, sebelum terikut-ikut dengan makanan viral, selidik ramuan makanan dan tempat ia diperbuat.

“Makanan cermin kesihatan tubuh. Bila kita sudah terbiasa dengan makanan manis, masin, tinggi perisa tiruan, lidah sudah dibiasakan dengan aras ambang yang tinggi terhadap rasa itu, terutamanya pada usia muda. Jadi, bila makan makanan kurang manis dan masin, rasa tidak sedap dan tawar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN