‘Wanita perlu ada ilmu politik’ - Utusan Malaysia

‘Wanita perlu ada ilmu politik’

Che Wan Atika Putri Che Wan Rashid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Setakat ini belum mencapai tahap yang memuaskan memandangkan masih kurangnya pendedahan serta minat kaum wanita terhadap politik,” itu reaksi Che Wan Atika Putri Che Wan Rashid, 24, Exco Srikandi Muda Bersatu Malaysia mengenai pembabitan wanita dalam politik.

Che Wan atau lebih dikenali Putri menjelaskan permulaan kerjanya dalam politik bermula dengan peng­libatannya dalam kepim­pinan belia.

Beliau menyertai Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Nerus dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), sebelum terjun ke dalam dunia politik sekitar 2018-2019.

Anak jati Terengganu yang turut merupakan Ketua Srikandi Muda Bahagian Bersatu Kuala Nerus ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu.

Putri yang memfokus perjuangannya dalam kluster wanita dan keluarga, mengangkat isu semasa terutamanya suara belia dan anak muda pada setiap Dewangan Undangan Negeri di Persidangan ADUN Belia.

Bukan mudah membahagikan masa antara kerjaya di pentas politik dan pengajian di universiti. Namun Ijazah Sarjana Muda Sains Politik yang diambil di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) cukup berkaitan dengan kerjaya politik yang sedang diceburinya.

MUDA DAN BERDIKARI

Meskipun usia muda, Putri sudah mula berdikari dengan menampung kehidupan dirinya, ahli keluarga dan pendidikannya dengan menjalankan perniagaan tudung di bawah syarikatnya sendiri iaitu, Dolls Beauty & AP Rezeki Empire Company. Bahkan sedang merancang menceburi dunia perniagaan kosmetik dan kesihatan wanita.

“Keluarga menyokong usaha saya dalam memberi khidmat dan kebaikan kepada masyarakat,” katanya yang berpeluang membuat ucapan pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini.

Beliau bersyukur lantaran parti berkenaan relevan dan terbuka serta memberi ruang dan peluang untuk anak-anak muda serta golongan wanita untuk bersuara dan mengangkat hak-hak kaum wanita.

Kata Puteri, secara umumnya, jawatan dan kedudukan dalam mana-mana parti politik sering didominasi oleh kaum lelaki.

Oleh itu katanya persepsi masyarakat perlu diubah kerana golongan wanita juga mampu menjadi pemimpin yang baik bagi urus tadbir dalam pentadbiran negara. Malah wanita juga mampu membawa kemajuan untuk keluarga, wanita dan masyarakat.

“Tujuan saya masuk politik sudah tentulah sebab keinginan mengubah dan membawa pembaharuan kepada seluruh rakyat, daripada segi pendidikan, ekonomi dan pekerjaan. Saya mahu mendidik rakyat Malaysia supaya berfikiran terbuka dalam semua aspek.

“Bagi anak muda yang ingin terjun dalam pentas politik, anda seharusnya mencari parti yang bersih dan stabil agar kita selesa dan yakin untuk membawa wadah perjuangan sebenar.

“Setakat ini kami di Srikandi Muda Bersatu Malaysia sangat mengalu-alukan kedatangan anak muda untuk menyertai perjuangan kami. Srikandi Muda adalah ruang untuk anak-anak muda dan golongan wanita muda mengasah bakat selain persiapan menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, jumlah ahli Srikandi Muda direkodkan seramai 64,993 di seluruh negara.

Tegas Putri, beliau jemu dengan kritikan dan cemuhan yang dilontarkan sebahagian pihak kepada golongan belia.

“Kami bukan sekadar untuk menghiasi tulang tulang belakang parti, apatah lagi sekadar untuk memenuhkan ruang semasa PRN, sebaliknya misi paling utama adalah untuk menang dan terus memenangi hati rakyat.

“Di mana tanggungjawab ini hendak diletakkan, kalau bukan dipundak dan jemala saya, anda bahkan kita semua,” jelasnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya