fbpx

28 Januari 2022, 7:48 pm

  TERKINI

Berbual waktu makan tingkat disiplin anak

Kajian menunjukkan makan bersama dapat mengelak anak terjebak dengan perlakuan merosakkan seperti merokok, minum minuman keras atau menagih dadah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Waktu makan merupakan masa paling istimewa dapat dilakukan dalam keluarga, sekiranya ada perancangan yang teliti.

Meluangkan masa makan bersama-sama dengan keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberi impak besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak.

Malangnya, budaya makan bersama-sama keluarga yang menjadi teras ikatan kekeluargaan semakin dipinggirkan kerana segelintir remaja suka makan tanpa mengikut waktu makan yang sepatutnya.

Menurut Pakar Diet, Pantai Hospital Laguna Merbok, Norhamizah Sohaimi, tidak dapat dinafikan sukar mencari masa makan bersama, terutamanya pada waktu siang. Namun masih boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam.

“Banyak kajian menunjukkan makan bersama boleh merangsang komunikasi dan hubungan antara ahli keluarga. Walaupun kebanyakan orang menganggap bercakap ketika makan kurang sopan, tetapi ia adalah antara masa anak berasa selamat, selesa, mesra dan rapat dengan ibu bapanya.

“Malah, ketika makan bersama juga ibu bapa boleh menunjukkan teladan baik kepada anak, seperti memupuk tabiat pemakanan, adab di meja makan dan kemahiran berkomunikasi.

“Pastikan waktu makan, tenang dan penuh ceria. Elak mengkritik anak dengan cara negatif kerana anak akan meniru perlakuan ditunjukkan ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

NORHAMIZAH SOHAIMI

Tambah Norhamizah, kebanyakan kanak-kanak cerewet dalam soal makan, terutama membabitkan pengambilan sayur-sayuran.

“Apabila makan bersama, ibu bapa boleh menerangkan kebaikan sayur-sayuran dan sedikit sebanyak mereka akan terdorong untuk mencuba jika ibu bapa mengamalkan pemakanan seimbang.

“Makanan disediakan di rumah selalunya lebih sihat dan berkhasiat kerana penggunaan lemak, garam dan gula boleh dikawal,” ujarnya.

TINGKAT KESIHATAN

Kajian di Amerika Syarikat ke atas 200 keluarga yang mempunyai anak berumur lima hingga 12 tahun menghidap asma mendapati, interaksi antara ibu bapa dan anak ketika makan boleh meningkatkan tahap kesihatan mereka.

“Walaupun tempoh makan bersama itu pendek dalam 18 minit, tetapi interaksi antara ahli keluarga memberi kesan langsung kepada kesihatan termasuk paru-paru anak, gejala asma dan kualiti hidup secara keseluruhan.

“Ini berikutan ibu bapa boleh mengambil peluang ketika makan untuk mengambil tahu aktiviti harian anak dan memberi ruang anak bercerita mengenai pengalaman dilalui pada hari berkenaan tanpa gangguan.

“Sebaliknya, kanak-kanak asma yang jarang makan bersama keluarga atau makan dalam keadaan tidak tenteram (gangguan telefon atau televisyen) menunjukkan tahap kesihatan kurang baik berbanding mereka yang menghabiskan waktu makan bersama ibu bapa,” katanya.

Justeru kata Norhamizah, jika anak ada gejala alahan, makan bersama adalah cara terbaik untuk mengetahui jenis makanan yang dia alah supaya ia boleh dielakkan pada masa depan.

“Manfaatkan masa itu dengan berkongsi ilmu pemakanan dan masalah alahan dengan anak yang lain,” katanya.

Bagi anak yang mengalami masalah berat badan berlebihan, mengawal pemakanan anak turut boleh dilakukan pada waktu makan bersama keluarga.

“Individu makan sendirian di depan televisyen, terdorong makan melebihi keperluan harian, sekaligusn mendorong tubuh lebih mudah mengalami masalah kegemukan,” katanya.

MANFAAT MAKAN BERSAMA

Kajian menunjukkan makan bersama dapat mengelak anak, khususnya remaja terjebak dengan perlakuan merosakkan seperti merokok, minum minuman keras atau menagih dadah.

Makan bersama membolehkan ibu bapa mengesan sebarang perlakuan atau tanda ganjil yang ditunjukkan anak mereka.

Berbual dan berbincang ketika makan, secara tidak langsung boleh membuatkan anak berasa dihargai dan disayangi.

Remaja yang makan bersama ibu bapa sekurang-kurangnya empat kali seminggu didapati menunjukkan pencapaian akademik lebih baik berbanding yang hanya makan bersama ibu bapa satu atau dua kali seminggu.

POPULAR

KOSMO! TERKINI