Tips elak jadi mangsa scam - Utusan Malaysia

Tips elak jadi mangsa scam

Scam, merujuk kepada penipuan atas talian atau penipuan di internet yang menggunakan pelbagai kaedah untuk menipu pengguna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Juwariah, 60 terduduk apabila wangnya RM50,000 lenyap sekelip mata di tipu kenalan di media sosial. Kenalan yang disangka sepupunya sendiri, rupanya palsu. Penipu rupanya membuat penyamaran, menggunakan profil sepupu, yang sudah lama tidak dihubungi itu.

Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Jaringan Industri & Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri menjawab perangkap jenayah yang belum menunjukkan tanda surut ini.

SERI: Penipuan dalam talian itu apa maksudnya dan ada berapa kategori?
Prof. Dr. Mohamad Fazli: Kita seringkali didedahkan dengan istilah scam, hakikatnya ramai yang tidak mengetahui takrifan scam. Ia merujuk kepada penipuan atas talian atau penipuan di internet.

Menurut Bank Negara Malaysia, ada enam bentuk penipuan kewangan di pasaran iaitu skim pelaburan atau skim cepat kaya, pelaburan internet palsu dan lain-lain jenis penipuan, penyalahgunaan nama Bank Negara Malaysia, keldai akaun, urus niaga mata wang asing haram dan Macau scam.

Laporan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat 5,218 kes Macau scam dilaporkan bagi dari Januari hingga Oktober 2020 dengan membabitkan anggaran kerugian sebanyak RM256 juta.

Apakah modus operandi (MO) penipuan dilakukan?
Salah satu daya penarik ialah ia menjanjikan keuntungan banyak dalam masa singkat. Ada lima kumpulan pengguna sering menjadi mangsa penipuan kewangan iaitu pesara, penjawat awam, pelajar, wanita dan orang kampung.

Bagi mengelak dari di kesan, mereka menggunakan pelbagai MO yang semakin kreatif dan inovatif. Antaranya dengan memberitahu anda memenangi cabutan hadiah bertuah di mana anda perlu membiayai kos penghantaran dengan memindahkan wang ke akaun mereka.

Selain itu, terdapat juga kes di mana mereka menyamar menjadi peguam, pegawai kastam, pegawai bank, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis yang mendakwa anda terlibat dalam aktiviti kurang sihat.

Terdapat juga sindiket menggunakan ugutan menamakan individu ahli keluarga sedang berhadapan dengan risiko bahaya, memperdayakan mangsa dengan menyuruh mereka memuat turun aplikasi telefon.

Pengguna memang mudah kena tipu?
Terdapat beberapa faktor menyumbang kepada pengguna menjadi mangsa. Antaranya kurang pengetahuan berkaitan aspek simpanan dan pelaburan.

Mereka juga kurang pengetahuan mengenai literasi digital, kurang mahir berkaitan dengan teknologi kewangan (fintech).
Pada masa sama keinginan memperolehi kekayaan dan keuntungan dalam masa singkat, atau berhadapan dengan masalah kewangan (beban hutang tinggi) mendorong mereka terpedaya. Kurangnya pengetahuan berkaitan aspek perundangan turut menyebabkan mangsa mudah ditipu.

Bagaimana menangani diri daripada menjadi mangsa?
Bagi mengekang jenayah ini daripada terus berleluasa, pengguna perlu mempersiapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran dari segi aspek pengurusan kewangan, literasi digital dan undang-undang.

Jangan sesekali memberikan maklumat seperti nombor MyKad, kad debit dan kad kredit terutamanya nombor di belakang kad (CVV) serta nombor pengesahan transaksi (TAC).

Jangan benarkan akaun bank anda digunakan oleh pihak ketiga atau penjenayah kewangan dan jangan mudah percaya dengan tawaran upah bagi penggunaan akaun anda.

Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi scam filter di telefon mereka dan aplikasi semakan kes penipuan.

Pengguna turut disarankan untuk mendapatkan nasihat dan rujukan daripada individu atau agensi berautoriti, bertauliah serta berdaftar.

Sekiranya anda curiga, sila lakukan semakan dengan agensi seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia.

Kalau rasa sudah menjadi mangsa, apa tindakan perlu dilakukan?
Sekiranya telah menjadi mangsa, pastikan anda membuat laporan di agensi kerajaan seperti PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media.

Pihak kerajaan perlu terus giat melakukan pemantauan secara berkala ke atas individu atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan berbentuk pinjaman kewangan, simpanan, pelaburan dan sebagainya.

Hukuman dan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas individu atau syarikat yang terlibat dengan jenayah atas talian.

Selain itu, program kesedaran perlu disebarluas kepada semua kelompok pengguna tanpa mengira jantina, umur, etnik, kumpulan pendapatan dan lokasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×