KUALA LUMPUR: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat Kebangsaan bertemakan “Pendidikan Insaniah: Pemacu Negara Bangsa Madani” baru-baru ini selari dengan bulan sambutan Hari Malaysia ke-62.
Program ini menghimpunkan pakar akademik daripada 18 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara termasuk Sunway University, HELP University, UNIRAZAK, UNITEN dan lain-lain bersama pentadbir pendidikan serta tokoh masyarakat bagi membincangkan peranan dan mengangkat Mata Pelajaran Umum (MPU) dalam membentuk generasi Malaysia Madani.
Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata pendidikan insaniah menjadi landasan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing dalam pasaran global tetapi juga memiliki etika, integriti dan jati diri sebagai warga Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin turut menekankan bahawa MPU tidak boleh dianggap sebagai subjek sampingan sebaliknya menjadi wahana utama untuk menyemai kefahaman sejarah, memperkukuh identiti nasional dan menggalakkan perpaduan masyarakat majmuk.
Hasil daripada daripada Persidangan Meja Bulat Kebangsaan ini akan diketengahkan hingga ke peringkat Kementerian.
Ia sekali gus mencerminkan kesungguhan UPTM dalam memperkukuh peranan MPU di samping menjadi platform memperjuangkan suara serta kepentingan para pendidik dalam bidang tersebut.