UTHM dilantik jadi Pusat Penilaian APEL - Utusan Malaysia

UTHM dilantik jadi Pusat Penilaian APEL

DR. MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) muncul sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) keenam dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL bagi peringkat ijazah sarjana (APEL T-7) dan sarjana muda (APEL T-6).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata. pelantikan itu membolehkan masyarakat di Selatan tanah air untuk mengambil peluang menyambung pengajian ke peringkat yang mereka idamkan.

Beliau berkata, menerusi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), mereka yang tidak mempunyai tahap pendidikan konvensional pun boleh melanjutkan pelajaran ke universiti.

Katanya, dengan adanya laluan alternatif melalui APEL ini, diharapkan lebih ramai dalam kalangan individu yang boleh meningkatkan pengetahuan, seterusnya memberi peluang yang lebih cerah dalam perkembangan kerjaya masing-masing.

“Pelantikan UTHM ini membolehkan mereka yang berada di Johor dan sekitar universiti ini lebih mudah untuk mendapatkan sijil APEL serta tidak perlu ke Kuala Lumpur atau Cyberjaya.

“Selepas memperoleh sijil APEL, mereka bolehlah memilih IPT untuk menyambung pengajian dalam bidang yang dimohon,” katanya dalam majlis penyerahan ringkas pada Program Malaysia Prihatin bersama Menteri Pengajian Tinggi di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Tun Hussein Onn, di sini, baru-baru ini.

Majlis penyerahan kepada Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly itu turut disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar.

Sebelum ini, lima IPT sudah dilantik menjadi Pusat Penilaian APEL iaitu Open University Malaysia, Wawasan Open University, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pihaknya berharap selepas ini lebih banyak IPT yang tampil untuk memohon menjadi Pusat Penilaian APEL.

“Peluang masyarakat terutama golongan pekerja untuk menyambung pengajian di IPT tempatan lebih tinggi sekiranya terdapat lebih banyak Pusat Penilaian APEL.

“Hal ini selaras dengan agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi berkualiti global pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Wahid berkata, pihaknya mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana, namun tidak mempunyai kelayakan akademik datang ke UTHM untuk menbuat persijilan APEL.

“Pelantikan ini sesuatu peluang yang besar bukan untuk UTHM tetapi untuk tenaga kerja yang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya