Jasa dan pengorbanan para petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19 tidak pernah dilupakan.
Baru-baru ini, Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program aktiviti kesukarelawan untuk menyumbangkan 300 unit peralatan perlindungan muka dan makan tengah hari kepada petugas terlibat di daerah Muallim, Perak.
Program itu dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus 2020/2021 (MMKLK), UPSI iaitu program Thank You To Our Heroes. MMKLK menghasiljan sendiri peralatan perlindungan muka itu secara do it yourself (DIY).
Dalam pada itu, program Rice and Love dibantu oleh Persatuan Mahasiswa Keluarga dan Sains Konsumer (FACSA) yang memasak juadah makan tengah hari untuk petugas barisan hadapan.
Pengetua UKLK, Prof. Madya Dr. Che Ghani Che Kob berkata, antara lain program itu bertujuan mengeratkan hubungan UPSI dengan komuniti luar dan menghargai jasa pengorbanan barisan hadapan ketika berdepan pandemik Covid-19.
“Ia juga melatih mahasiswa agar menjadi pemimpin yang mempunyai jiwa dalam diri seperti keseronokan membantu orang meskipun seseorang itu berada dalam kesusahan ataupun tidak,” katanya.
Program itu diadakan di Klinik Kesihatan, Balai Bomba dan Balai Polis, Tanjong Malim. Turut menjayakannya ialah Persatuan Mahasiswa Keluarga dan Sains Konsumer (FACSA) dan Pusat Islam, UPSI.

Sementara itu, Pengarah Program Thank You To Our Heroes dan Rice & Love, Nurul Izaty Mohamad Kahar berkata, pihaknya seronok kerana program itu dapat membantu orang di sekeliling.
“Program ini juga dapat memberi peluang kepada mahasiswa mempertingkatkan pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah serta dapat mengaplikasikan semangat sukarela dalam kehidupan bermasyarakat apabila mahasiswa melangkah ke dunia luar,” katanya yang juga Exco Komuniti dan Kesukarelawan MMKLK.











