UiTM Melaka korban di Kemboja - Utusan Malaysia

UiTM Melaka korban di Kemboja

Kerja-kerja menyembelih lembu korban di Kampung Veal Senaap Chhlong, Kratie.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 175 peserta korban dari Malaysia mengambil bahagian dalam program korban Aidiladha di Kemboja, baru-baru ini.

Mengetuai senarai ialah Rektor UiTM Cawangan Melaka, Profesor Dr. Abd. Halim Mohd. Noor yang juga Penasihat 1 Program Jejak Kemboja 2020.

Pengarah program, Muaz Mohd. Noor berkata, aktiviti korban itu adalah sebahagian daripada tiga objektif utama penganjuran program Jejak Kemboja 2020 siri kedua.

Ia adalah anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Melaka.

Katanya, program berbentuk khidmat masyarakat dan pengantarabangsaan itu bertujuan memupuk budaya bantu-membantu sesama muslim serta menyemai semangat berkorban dalam kalangan kakitangan ACIS.

“Ia juga bagi menyahut saranan pengurusan tertinggi UITM untuk mengadakan program CSR berimpak tinggi merentasi negara,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebanyak 15 ekor lembu disembelih dan diagihkan dagingnya kepada masyarakat minoriti Islam di Wilayah Kandal, Wilayah Thbong Khmom dan Wilayah Kampung Chhnang selain pusat-pusat tahfiz termasuk di perkampungan sempadan Laos.

Selain daging korban, sumbangan barang-barang keperluan harian turut dihulurkan kepada masyarakat miskin khususnya yang terkesan dengan Covid-19, yang bermula awal bulan Ramadan baru-baru ini sehingga Zulhijah.

Disember lalu, pihak ACIS UiTM Melaka buat julung kalinya menganjurkan misi kemanusiaan di Kemboja. Jumlah kutipan yang berjaya dikumpul daripada orang ramai adalah lebih RM55,000.

Hasil kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pasukan perubatan Hospital Terengganu, mereka membina 33 unit telaga, empat tempat wuduk, selain menganjurkan program khatan perdana, sumbangan beras, kitab agama dan lain-lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya