Zara Zya insaf, tak lagi kejar kemewahan selepas diuji sakit - Utusan Malaysia

Zara Zya insaf, tak lagi kejar kemewahan selepas diuji sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelakon, Zara Zya mengakui kini lebih selesa menjalani kehidupan sederhana tanpa terlalu mengejar barangan berjenama mewah selepas pengalaman berdepan masalah kesihatan membuka matanya tentang kepentingan memiliki simpanan kewangan yang kukuh.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 41, berkata, pengalaman jatuh sakit sehingga terpaksa berehat panjang daripada aktiviti penggambaran memberi kesedaran besar kepadanya untuk lebih bijak menguruskan kewangan.

Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan simpanan yang dikumpul sebelum ini semakin berkurangan, sekali gus mengubah cara dia melihat keperluan hidup dan kepentingan membuat persediaan kewangan untuk masa depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya perkara ini bukan untuk selebriti sahaja, tetapi untuk semua orang. Bila kita senang, kita selalu seronok berbelanja tanpa fikir panjang. Itu juga yang berlaku pada saya dahulu.

“Bila bergelar artis dan dapat bayaran sekaligus dalam jumlah yang banyak, kita mula rasa hendak beli beg tangan mewah, alat solek dan baju mahal.

“Sekarang ini saya beli baju di TikTok yang berharga RM10 sahaja. Bila orang tengok artis pakai baju sama, mereka akan pertikaikan seolah-olah kita tiada baju lain, jadi kita terpaksa beli baharu.

“Kalau beli baju berharga RM500 atau RM1,000, takkanlah kita hendak tukar setiap masa? Dari situlah saya mula berfikir untuk menyimpan berbanding berbelanja sesuka hati,” katanya.

Zara berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan kedai emas Cindai Gold Palace, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zara berkata, kepuasan memiliki barangan mewah hanya bersifat sementara dan tidak memberikan manfaat jangka panjang berbanding amalan menyimpan serta membuat pelaburan.

“Sekarang memang saya berfikiran begitu. Kalau dahulu sibuk hendak beli beg berjenama mewah dari hujung rambut ke hujung kaki, padahal semua itu tidak mendatangkan sebarang faedah melainkan keseronokan sementara sahaja.

“Akhirnya bil tetap kita yang kena bayar dan beg-beg itu pun bukan senang hendak dijual semula.

“Tetapi kalau kita simpan emas atau melabur, duit itu akan berkembang dan boleh dikeluarkan bila-bila masa. Itulah yang sebenarnya akan membuatkan kita tersenyum pada masa hadapan,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman yang mengubah perspektifnya, Zara berkata, insiden jatuh sakit sehingga memerlukan tempoh rehat panjang daripada penggambaran benar-benar memberi tamparan hebat, terutama dari sudut persediaan kewangan.

“Kesedaran ini timbul bila saya mula jatuh sakit. Sebelum ini kita memang seronok berbelanja. Bila sudah sakit, saya sangat bersyukur masih mempunyai perlindungan insurans.

“Dulu saya pernah ada tiga polisi insurans dengan bayaran ribuan ringgit sebulan, tetapi saya kurangkan kepada satu sahaja sebab rasa macam tidak digunakan.

“Bila jatuh sakit dan mahukan rawatan di hospital yang selesa, saya terkejut melihat bil rawatan mencecah ratusan ribu ringgit. Mujurlah insurans yang ada masih mampu menampungnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zara memberitahu dia kini mula mendalami pelaburan emas selain menyimpan menerusi Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan.

Katanya, amalan menyimpan emas bukan sahaja membantu membina aset, malah memberikan motivasi kepadanya untuk terus menambah simpanan secara konsisten.

“Menyimpan emas ini menyeronokkan dan membuatkan kita rasa sentiasa bersemangat untuk menambah simpanan.

“Apatah lagi bila pernah berada dalam fasa sakit yang sangat membimbangkan, ia benar-benar menyedarkan saya tentang pentingnya simpanan demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.

“Hakikatnya tiada siapa yang akan tolong kita melainkan diri sendiri, jadi tidak kira tua atau muda, kita memang wajib menyimpan,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini