KUALA LUMPUR: Tujuh bakat muzik dari enam negara Asia bergabung menerusi program Move Your World Beat anjuran Toyota Motor Asia bagi menghasilkan karya yang menggabungkan warisan budaya dengan inovasi muzik moden.
Kolektif itu menghimpunkan Natasha Noorani dari Pakistan, Belle Sisoski dari Malaysia, Shye dari Singapura, Valentina Ploy dari Thailand, 2pillz serta pasangan kembar Miguel dan Paolo Benjamin daripada kumpulan Ben&Ben dari Filipina.
Menerusi kolaborasi itu, mereka menghasilkan New Day Rising, sebuah lagu yang menggabungkan alat muzik tradisional Asia dengan bunyi harian kenderaan Toyota bagi mencipta identiti muzik kontemporari yang mencerminkan kepelbagaian budaya rantau ini.
Lagu berkenaan merupakan sebahagian daripada album sulung kolektif itu, Move Your World Beat Volume 1, yang dijadualkan ditayangkan secara eksklusif di YouTube pada 23 Oktober 2026, pukul 8 malam waktu Singapura.
Tayangan itu turut disertai filem di sebalik tabir yang memaparkan proses kreatif, eksperimen muzik dan pertukaran idea dalam kalangan artis terbabit sepanjang menghasilkan karya berkenaan.
Setiap artis membawa identiti dan pendekatan muzik tersendiri, merangkumi genre folk-pop, R&B, muzik elektronik, dream-pop serta penerbitan eksperimental.
Natasha menggabungkan tradisi muzik Asia Selatan dengan pop elektronik, manakala Belle mengetengahkan alat muzik tradisional Asia Tenggara dalam karya kontemporari.
Shye pula mengendalikan sendiri proses penulisan lagu, penerbitan dan kejuruteraan audio bagi membentuk identiti muziknya, sementara Valentina menggabungkan pengaruh warisan Thailand dan Itali dalam karya yang dihasilkan.
Bagi 2pillz, eksperimen merentasi pelbagai genre menjadi pendekatan utama dalam penerbitan muzik, manakala Miguel dan Paolo mengembangkan perjalanan seni daripada duo akustik kepada Ben&Ben, kumpulan sembilan anggota yang dikenali dalam industri muzik Filipina.
Keunikan Move Your World Beat terletak pada pendekatannya yang menjadikan bunyi harian kenderaan sebagai elemen dalam penciptaan muzik. Antara bunyi yang digunakan ialah klik lampu isyarat membelok, pertukaran gear, dengungan tingkap kuasa dan bunyi pintu kenderaan ditutup.
Bunyi berkenaan diolah menjadi elemen ritma dan melodi sebelum digabungkan dengan alat muzik tradisional yang mencerminkan latar budaya setiap artis. Antaranya termasuk Alghoza, seruling berkembar tradisional Pakistan, dan Đàn tơ rưng, alat muzik xilofon buluh dari Vietnam.
Idea muzik yang dihasilkan secara individu kemudiannya disatukan menerusi New Day Rising, yang menampilkan gabungan vokal bertenaga, harmoni berlapis, susunan muzik sinematik, tekstur bunyi shoegaze dan teknik penerbitan eksperimental.
Gabungan itu mempertemukan warisan muzik tradisional dengan teknik penerbitan kontemporari, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan baharu dalam perkembangan muzik Asia.
Move Your World Beat merupakan kesinambungan platform Move Your World oleh Toyota Motor Asia yang berteraskan aspirasi untuk menghubungkan individu daripada pelbagai latar belakang bagi mencipta kemajuan bersama.
Menerusi program itu, Toyota berhasrat menyediakan ruang kepada pemuzik muda Asia untuk bekerjasama merentas budaya, memperkenalkan karya di peringkat serantau dan mengembangkan potensi kreatif masing-masing.











