CYBERJAYA: Pelakon dan usahawan, Adam Corrie, 57, menegaskan kebajikan pekerja menjadi keutamaan dalam menguruskan perniagaan restorannya, Kopihut, termasuk memastikan urusan pembayaran gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan dengan telus.
Menurut Adam, setiap pekerja berhak mendapat penjelasan yang jelas sekiranya terdapat sebarang potongan gaji, selain mengetahui tujuan dan saluran wang berkenaan.
Katanya, hubungan antara majikan dengan pekerja perlu berlandaskan sikap saling memerlukan dan bukannya sekadar arahan daripada pihak atasan.
“Saya memerlukan mereka dan mereka juga memerlukan saya. Jadi, hubungan antara majikan dengan pekerja bukan sekadar saya menjadi bos dan semua orang perlu mengikut arahan saya.
“Sebab itu, setiap hari Isnin kami mengadakan mesyuarat untuk mendengar masalah mereka. Kalau ada perkara yang tidak betul, kami akan cuba memperbaikinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman cawangan pertama Kopihut yang menerima sijil halal di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Adam berkata, pengalamannya sebagai pekerja sebelum bergelar usahawan turut membentuk pendekatannya dalam menjaga kebajikan kakitangan.
Jelasnya, pengalaman berdepan situasi apabila kebajikan pekerja kurang diberikan perhatian mendorongnya untuk memastikan perkara sama tidak berlaku kepada kakitangannya.
“Sebagai pekerja dahulu, saya juga pernah merasakan kebajikan saya tidak dijaga oleh majikan. Namun, sekarang bukanlah saya mahu membalas dendam terhadap sesiapa.
“Sebaliknya, apabila menjadi bos, saya memastikan pekerja mendapat layanan baik. Orang yang datang menghadiri temu duga dengan saya kebanyakannya bukan orang senang. Mereka kerja siang malam untuk mencari rezeki,” katanya.
Dalam pada itu, Adam mendedahkan terdapat dua perkara yang menjadi keutamaannya sebelum memulakan perniagaan restoran, iaitu memberikan peluang kepada pekerja menunaikan solat dan melaksanakan kewajipan membayar zakat perniagaan.
Menurutnya, dia mahu memastikan pekerja, khususnya yang beragama Islam, diberikan ruang untuk menunaikan solat Jumaat meskipun perkara itu memerlukan operasi premis dihentikan buat sementara waktu.
“Kali pertama sebelum membuka kedai, saya sudah menetapkan dua perkara yang mahu dipastikan sejak awal perniagaan.
“Pertama, saya mahu pekerja diberikan peluang untuk menunaikan solat, terutamanya solat Jumaat. Saya sudah berpesan supaya mereka dibenarkan pergi menunaikan solat Jumaat walau apa pun keadaannya.
“Kalau tiada pekerja yang boleh menjaga premis kerana semuanya lelaki dan perlu pergi menunaikan solat Jumaat, tutuplah kedai selama dua jam. Bagi saya, keberkatan itu penting,” katanya.
Selain itu, Adam berkata, pembayaran zakat turut menjadi antara perkara yang dititikberatkan dalam menguruskan perniagaannya, tanpa mengira jumlah keuntungan yang diperoleh.
“Membayar zakat memang antara niat pertama saya sebelum membuka kedai. Saya pernah memberitahu bahawa ada dua perkara yang saya mahu pastikan sejak awal perniagaan.
“Kedua, saya mahu membayar zakat tanpa mengira sama ada perniagaan memperoleh keuntungan banyak atau sedikit. Zakat tetap perlu dibayar. Alhamdulillah, akhirnya hasrat dan niat saya untuk membayar zakat tercapai,” katanya.
Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penganjuran pertandingan Lapar Battle oleh Lapar Society, sebuah inisiatif yang memberi peluang kepada peniaga kecil mempromosikan produk masing-masing.
Pertandingan edisi pertama itu menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM600,000 selain sebuah restoran kepada pemenang utama.











