KUALA LUMPUR: Gabungan dua nama dalam industri muzik tempatan, Drama Band dan Asfan Shah bersama kumpulannya, Manusia, bakal mencipta kelainan menerusi Konsert Malam Drama Manusia yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Januari 2027.
Dianjurkan Permaico Concerto, konsert bermula pukul 8.30 malam itu menjanjikan pengalaman berbeza kepada peminat menerusi konsep fantasi yang menggabungkan kepelbagaian muzik, imaginasi dan emosi dalam satu persembahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Permaico Concerto, Datuk Norshida Mohamed Ali berkata, beliau yakin kemampuan kedua-dua kumpulan berkenaan mampu merealisasikan sebuah persembahan istimewa yang meninggalkan kesan kepada peminat muzik tanah air.
Vokalis Asfan Shah dan Manusia, Asfan Shah berkata, konsert berkenaan dirangka bukan sekadar untuk menghiburkan penonton, sebaliknya membawa mereka menyelami dunia imaginasi menerusi pengalaman muzik yang berbeza.
“Konsep konsert ini berteraskan fantasi. Kami mahu memberikan pengalaman baharu kepada penonton, bukan sekadar datang untuk melihat penyanyi membuat persembahan di atas pentas.
“Kami mahu penonton merasai pelbagai emosi sepanjang persembahan, daripada lagu rancak hinggalah lagu sedih dan karya yang membangkitkan perasaan bercampur baur,” katanya.
Berlangsung lebih dua jam, konsert itu bakal menampilkan sekurang-kurangnya 25 lagu, termasuk karya Asfan sendiri serta lagu yang pernah dihasilkannya untuk penyanyi lain.
Menariknya, lagu-lagu berkenaan akan diberi nafas baharu menerusi susunan muzik berbeza bagi menawarkan kelainan kepada pendengar yang sudah mengenali karya terbabit.
Asfan berkata, kumpulan Manusia yang ditubuhkan pada penghujung tahun lalu turut memperkenalkan single berjudul Dusta sebagai antara karya awal mereka.

Kumpulan itu turut diperkuatkan barisan pemuzik berpengalaman, iaitu Adam Karman (Treehill) yang juga pensyarah muzik dan Arash (Treehill) sebagai pemain gitar, Zack (New Boyz) selaku pemain bes serta One (Sofazr) sebagai pemain dram.
Sementara itu, vokalis Drama Band, Aepul Roza menyifatkan peluang bergandingan dengan Asfan dalam konsert berskala besar itu sebagai sesuatu yang cukup bermakna, apatah lagi mereka pernah beberapa kali bersaing dalam pertandingan muzik.
“Saya dan Asfan sudah pernah bertanding di atas pentas sebanyak dua kali. Ada ketika dia menang dan ada ketika saya menang.
“Jadi, peluang untuk kami bergabung dalam sebuah konsert berskala besar ini memang sesuatu yang saya hargai. Terima kasih kepada pihak penganjur, khususnya Datuk Norshida, atas kepercayaan yang diberikan,” katanya.
Gabungan dua kumpulan itu dijangka memberikan dimensi tersendiri kepada persembahan menerusi penglibatan dua pemain dram, tujuh pemain gitar dan dua vokalis, sekali gus menjanjikan pengalaman berbeza berbanding penampilan mereka secara berasingan.
Menurut pihak penganjur, idea menggabungkan Drama Band dengan Asfan Shah dan Manusia tercetus daripada usaha menghasilkan sebuah persembahan yang mempunyai identiti tersendiri.
Persamaan kedua-dua kumpulan dalam menghasilkan lagu yang sering menjadi runut bunyi drama tempatan turut menjadi antara asas kepada pembentukan konsep Malam Drama Manusia.
Konsert itu diharapkan dapat menghimpunkan peminat kedua-dua kumpulan dalam sebuah acara yang bukan sahaja menampilkan lagu-lagu popular, malah membuka ruang kepada karya sedia ada dipersembahkan menerusi pendekatan muzik yang lebih segar.
Bagi menambah kemeriahan acara, barangan cenderamata eksklusif turut dirancang untuk ditawarkan kepada peminat pada hari konsert.
Tiket Konsert Malam Drama Manusia kini boleh didapati menerusi platform Ticket2u di laman web Ticket2u.com.my.
Peminat berpeluang menikmati penjimatan sebanyak 15 peratus bagi semua tiket berdiri menerusi pendaftaran awal sehingga 23 Oktober 2026.
Orang ramai disaran mendapatkan tiket melalui saluran rasmi berkenaan bagi menyaksikan persembahan yang dijadual berlangsung pada 15 Januari 2027.
Maklumat lanjut mengenai konsert itu boleh diikuti menerusi tanda pagar rasmi #MalamDramaManusia dan #KonsertMalamDramaManusia di media sosial.











