Yasin tarik semula dakwaan salah laku dalam penjara - Utusan Malaysia

Yasin tarik semula dakwaan salah laku dalam penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman menarik semula kenyataannya mengenai dakwaan berlaku salah laku dalam penjara selepas Jabatan Penjara Malaysia menafikan perkara tersebut.

Yasin, 50, mengakui dakwaan berhubung kewujudan penyalahgunaan dadah, hierarki serta layanan berasaskan kasta yang didakwa boleh ditentukan menerusi wang ringgit adalah tidak benar.

Menurutnya, kenyataan itu dibuat ketika beliau ditemu bual dalam beberapa podcast yang membincangkan pengalamannya sepanjang berada di penjara.

“Akhir-akhir ini saya ditemu bual bersama beberapa podcast dengan menceritakan pengalaman di penjara dan saya ada buat kenyataan seperti di dalam penjara ada dadah, hierarki, kasta dan kononnya keadaan boleh ditentukan dengan wang ringgit.

“Jadi, saya ambil maklum pada hari ini Jabatan Penjara Malaysia telah tampil menafikan dakwaan saya dan apa yang saya nak lakukan pada petang ini adalah saya ingin menyatakan bahawa penafian yang telah mereka lakukan adalah benar.

“Semua yang saya katakan dalam podcast-podcast itu tak betul,” katanya menerusi satu video.

Yasin berkata, keadaan kesihatan dirinya sebelum menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta turut mempengaruhi cara beliau memahami dan mentafsir perkara yang berlaku di sekelilingnya.

“Semasa dalam penjara sebelum dimasukkan ke Hospital Bahagia, saya sebenarnya berada dalam fasa mania sakit bipolar disorder.

“Mungkin akibat daripada itu yang buat saya tersalah anggap, tersalah faham, tersalah tafsir, melihat dan mendengar benda yang tak ada sehingga saya membuat kesimpulan yang tidak betul.

“Jadi, pihak Jabatan Penjara lebih tahu tentang penjara daripada saya,” katanya.

Dalam video sama, Yasin turut memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk mencemarkan nama baik organisasi berkenaan.

“Saya mohon maaf dan kesal malah tidak pernah bermaksud untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia.

“Para pegawai dan anggota di penjara mempunyai tugas yang berat. Mereka memikul amanah besar dan saya ucapkan terima kasih atas segala khidmat yang mereka berikan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berharap penjelasan berkenaan dapat meleraikan segala persoalan dan kekeliruan susulan kenyataan yang dibuat sebelum ini.

“Apa yang saya kata dalam podcast itu tidak benar dan menarik semula semua kenyataan seperti salah laku yang berlaku di dalam penjara.

“Saya harap isu ini tidak akan berpanjangan lagi selepas ini,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan Yasin bahawa kehidupan dalam penjara sangat bergantung kepada wang dan pengaruh.

Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara, Mohamad Rosidek Musa, berkata pihaknya mengakui kemungkinan berlakunya perkara negatif tertentu, namun terdapat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang aktiviti berkenaan.

Sebelum ini, Yasin menerusi beberapa temu bual podcast berkongsi pengalaman sepanjang berada di penjara.

Perkongsian tersebut mencetuskan perhatian ramai sebelum mendapat respons daripada Jabatan Penjara Malaysia.

Yasin sebelum ini dibebaskan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada 3 September lalu selepas menerima rawatan selama tiga tahun empat bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×