Taiwan sasar pasaran Muslim Malaysia - Utusan Malaysia

Taiwan sasar pasaran Muslim Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taiwan memperkukuh usaha menarik lebih ramai pelancong Malaysia dengan membawa delegasi besar terdiri daripada 44 organisasi dan 76 wakil industri ke Pameran MATTA Kuala Lumpur 2026.

Delegasi yang merangkumi wakil kerajaan tempatan, persatuan pelancongan dan pengendali pelancongan itu tiba di Malaysia pada 3 September lalu bagi menyertai pameran pelancongan terbesar negara yang berlangsung dari 4 hingga 6 September.

Penyertaan berkenaan diketuai Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Joseph Cheng, yang turut memperkenalkan tawaran serta insentif baharu bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia berkunjung ke Taiwan.

Menerusi kempen Taiwan – 100 Ways pelancong Malaysia diajak meneroka pelbagai tarikan dan pengalaman unik di Taiwan, termasuk budaya, makanan, alam semula jadi serta kehidupan masyarakat tempatan.

Dalam perkembangan sama, Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur dan Malaysia Airlines memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan.

MoU itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu penganjuran lawatan suai kenal (FAM Trips), pembangunan produk pelancongan baharu serta pemasaran bersama.

Kerjasama itu dijangka dapat memperkukuh hubungan udara antara Malaysia dan Taiwan, selain membuka lebih banyak peluang untuk menarik pelancong Malaysia ke negara berkenaan.

Pada Pameran MATTA Kuala Lumpur kali ini, Pavilion Taiwan turut diberi pengiktirafan sebagai Rakan Kongsi Penting (Important Partner).

Pavilion berkenaan menampilkan tema Taiwan – Waves of Wonder selain mengetengahkan konsep Taiwan Never Sleeps yang menggambarkan kepelbagaian pengalaman yang boleh dinikmati pelancong sepanjang berada di Taiwan.

Dalam usaha memperluas pasaran pelancongan Muslim, pengendali pelancongan Muslim dari Malaysia turut dijemput menyertai Pavilion Taiwan buat julung kalinya.

Langkah itu mencerminkan kesungguhan Taiwan untuk membangunkan lebih banyak produk pelancongan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim dari Malaysia.

Dengan kira-kira 70 peratus penduduk Malaysia beragama Islam, pasaran tersebut dilihat mempunyai potensi besar untuk terus diterokai Taiwan.

Malah, Taiwan kini menduduki tempat ketiga dalam kalangan destinasi bukan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pilihan pelancong Muslim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×