Diva M kongsi rezeki, tawar gunting rambut percuma - Utusan Malaysia

Diva M kongsi rezeki, tawar gunting rambut percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAYA JARAS: Usahawan dan pempengaruh, Diva M atau nama sebenarnya Mohd Muzakir, meluangkan masa menyantuni 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena cuti persekolahan baru-baru ini.

Diva M bersama beberapa kakitangan Diva Hair Salon turut membawa makanan tengah hari dan pencuci mulut untuk dinikmati bersama penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Menurut Diva M, hari Jumaat sering dipilih untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

“Kalau ada kesempatan dan rezeki, memang saya cuba jadikan hari Jumaat sebagai hari untuk berkongsi dengan orang lain. Sebelum ini kami pernah ke masjid dan rumah warga emas. Kali ini, kebetulan musim cuti sekolah, jadi kami memilih untuk datang bertemu dan makan tengah hari bersama anak-anak di sini.

“Bagi saya, kita tidak perlu menunggu ada banyak baru hendak memberi. Apa yang kita ada dan mampu, kita kongsikan,” katanya.

Selain membawa makanan, Diva M turut menawarkan khidmat gunting rambut percuma kepada kesemua 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni.

Menariknya, tawaran itu bukan untuk sekali kunjungan sahaja, sebaliknya boleh digunakan selagi salunnya masih beroperasi dan mampu menyediakan perkhidmatan berkenaan.

“Saya beritahu pihak rumah, kalau anak-anak di sini perlukan khidmat gunting rambut, mereka boleh datang ke salun. Ini bukan untuk sekali sahaja. Selagi kami masih beroperasi dan mampu memberikan perkhidmatan itu, kami akan buat secara percuma.

“Saya mahu mereka tahu pintu salun kami sentiasa terbuka untuk mereka,” katanya.

Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab, menghargai kunjungan dan sumbangan yang diberikan Diva M bersama pasukannya.

“Kami berterima kasih atas kesudian Diva M dan pasukannya datang menyantuni anak-anak di sini, selain membawa makanan untuk dinikmati bersama.

“Kami juga menghargai tawaran beliau menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada anak-anak di bawah jagaan kami,” katanya.

Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras yang ditubuhkan pada 2007 menempatkan anak yatim, yatim piatu dan golongan asnaf.

Ketika ini, rumah berkenaan dihuni 112 individu berusia antara satu hingga 17 tahun, terdiri daripada 61 lelaki dan 51 perempuan.

Program berkenaan turut diisi dengan sesi ramah mesra dan fotografi sebelum Diva M, pasukannya serta penghuni menunaikan solat Jumaat.

Sebelum ini, Diva M bersama pasukan Diva Hair Salon turut mengadakan aktiviti kebajikan di Rumah Seri Kenangan Cheras dengan menyediakan khidmat gunting rambut percuma kepada warga emas.

Aktiviti itu menunjukkan usaha Diva M menggunakan perniagaan dan kemahirannya untuk membantu golongan yang memerlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×