KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaheizy Sam, lega apabila kakaknya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, dilepaskan dan bebas daripada tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan dalam unit amanah.
Sam atau Shaheizy Sam Abdul Samad, 44, berkata, dia sememangnya bimbang terhadap nasib kakaknya dalam menghadapi pertuduhan rasuah itu seorang diri selepas suami, Allahyarham Datuk Seri Bung Mokhtar Radin meninggal dunia, 5 Disember tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur semuanya sudah selesai dengan keputusan yang berpihak kepada dia. Tidak dinafikan, saya ada risau juga sebab dia pun sudah tiada suami dan anak-anak juga masih kecil.
“Tetapi, dengan keputusan yang diputuskan oleh pihak mahkamah baru-baru ini memang sangat Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Saya nak cakap lebih-lebih pun, tidak pandai sangat.
“Bagaimanapun, saya tengok Zizie ini keadaannya nampak okay sahaja. Mungkin depan kita, dia bersikap macam itu kerana tidak mahu
adik-beradik risau untuknya. Tetapi di belakang, saya pun tidak tahu.
“Cuma, dia sekarang nampak lebihbekerja keras dan terus bersemangat demi anak-anak,” katanya.
Sam berkongsi perkara berkenaan sema sidang media MR. DIY Club bersama duta Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin di Central Town, MyTown Shopping Centre, di sini, semalam.
Ditanya sama ada Zizie ada berkongsi apa-apa dengannya sepanjang menghadapi proses perbicaraan kes terbabit, Sam berkata kakaknya itu dilihat tenang, positif dan biasa sahaja menguruskan kehidupan hariannya.
“Saya tengok mentaliti dia memang kuat sekarang. Mungkin dari segi pemikiran dia pun sendiri sudah jauh berubah bila harus berhadapan keadaan seperti kes itu dengan tenang.
“Apapun, dia memang tidak berkongsi apa-apa dengan saya. Bagi saya, tidak mengapa kalau Zizie tak berkongsi sebab mungkin dia juga sudah reda sajalah apa pun,” katanya.
Pada 20 Julai lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Zizie atas tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad memutuskan perkara itu selepas berpuas hati dengan hujah pasukan pembelaan Zizie yang berjaya menimbulkan keraguan dalam kes berkenaan berdasarkan keterangan kedua-dua pihak dan autoriti dikemukakan.










