PUTRAJAYA: Terus cekal mengharungi kehidupan dengan tenang, pelakon, Azar Azmi mengakui sukar bagi dirinya untuk kelihatan kuat sepanjang masa apatah lagi di saat anak-anak sedang membesar.
Menurut Azar atau Siti Azar Ameerah Azmi, 37, dia kini memikul segala tanggungjawab untuk menyara dua cahaya matanya meskipun sedang sibuk mengatur semula langkah dalam industri seni.
“Susah sebenarnya untuk kelihatan kuat sentiasa. Adakala di set penggambaran pun saya masih menangis. Tetapi saya harus kuat.
“Kalau saya tidak kuat, siapa lagi mahu kuat untuk anak-anak? Saya kena bekerja untuk beli susu, lampin dan nanti bila mereka bersekolah, saya perlu pastikan semuanya mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengakui dirinya kini sibuk menjalani penggambaran drama Bulan Henti Bicara, Azar memberitahu segala urusan melibatkan anak sepanjang ketiadaannya diuruskan oleh kakaknya.
Kata Azar, dek kerana lambakan berita kes penderaan kanak-kanak, dia hilang kepercayaan untuk menghantar anak-anaknya yang kini berusia tiga dan empat tahun ke pihak pengasuh.
“Saya lebih percaya darah daging sendiri yang jaga. Kakak memang tidak bekerja, jadi dia yang akan menjaga anak-anak kalau saya keluar bekerja.
“Saya memang ada isu untuk percaya sebab banyak sangat membaca tentang kes melibatkan kanak-kanak. Budak-budak tidak bersalah, mereka tidak tahu apa-apa. Kita sebagai orang dewasa yang perlu menjaga mereka.
“Saya takut sebab kita tidak tahu apa jadi di belakang kita. Bukan mahu kata semua pengasuh begitu, tetapi fikiran negatif memang ada. Saya sentiasa tertanya-tanya sama ada anak dijaga dengan baik atau tidak,” kongsinya.
Demi menjaga kesejahteraan anaknya, Azar juga merancang untuk memberikan pendidikan dari rumah terlebih dahulu sebelum menghantar mereka ke sekolah apabila tiba masanya.
“Anak-anak saya masih kecil, baru berusia tiga dan empat tahun. Buat masa ini saya rancang untuk memberikan pendidikan dari rumah dulu sebelum masukkan mereka ke sekolah,” ujarnya
Bagaimanapun, Azar bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat daripada adik-beradiknya sejak terpalit kontroversi sebelum ini.
“Hubungan kami lima beradik sangat rapat selepas kedua ibu bapa kami sudah tiada. Selepas kontroversi yang berlaku, adik beradiklah menjadi tempat saya meluahkan masalah dan bergantung hidup.
“Kakak saya kini membantu menjaga anak bila saya terbabit dengan penggambaran. Merekalah juga tempat anak-anak berkongsi kasih sayang,” ujarnya.
Selain Azar, karya arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi Azhan Rani, Ezzanie Jasny, Ali Reza dan Rashidah Jaafar.
Drama pertama dibintangi aktres tersebut selepas tujuh tahun penyepi itu bakal ditayangkan pada 27 Julai ini.










