Saya seorang ‘workaholic, sejak tahun lalu belum berehat - Ezzanie Jasny - Utusan Malaysia

Saya seorang ‘workaholic, sejak tahun lalu belum berehat – Ezzanie Jasny

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelakon, Ezzanie Jasny menganggap dirinya seorang ‘workaholic’ kerana sentiasa mahu bekerja selagi mempunyai peluang.

Menurut Ezzanie, dia sejenis yang gemar mengisi masa terluangnya dengan melakukan pekerjaan asalkan benda yang dilakukan itu halal dan berkat.

“Saya memang seorang yang workaholic. Saya tidak boleh duduk diam. Tidak kisah apa jenis pekerjaan pun, asalkan benda itu halal dan buat saya gembira, saya akan buat.

“Saya memang tidak boleh duduk di rumah. Ibudan adik-beradik saya selalu cakap, ‘Kau ini tidak boleh duduk rumah ke?’

“Kalau tiada kerja pun, saya tetap kena keluar berjalan-jalan sebab memang saya jenis tidak boleh duduk diam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pun begitu, Ezzanie mengakui dirinya perlu mencari ruang untuk berehat demi menjaga kesihatan fizikal dan mentalnya selepas menempuhi jadual kerja yang padat bermula sejak tahun lalu.

“Saya memang tidak berehat langsung. Lepas habis menjalani penggambaran sebuah drama, saya cuma ada empat hari untuk kemas barang sebelum terus bergegas ke Terengganu untuk sambung penggambaran drama ini.

“Sejak kemalangan saya tahun lepas sampailah sekarang, saya memang tidak berhenti bekerja. Jadi bulan Ogos nanti, Insya-Allah saya mahu ambil cuti dan berehat secukupnya.

“Lepas itu, dari September hingga Januari, saya sudah ada projek lain yang akan saya lakukan,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media drama Bulan Henti Bicara, baru-baru ini.

Tambah pelakon itu, kebanyakan watak berat yang dibawakannya sejak dua tahun kebelakangan ini turut memberi kesan kepada emosinya sehingga ada ketika dia mengalami keletihan melampau ketika menjalani penggambaran.

“Drama-drama yang saya buat tahun ini dan tahun lepas semuanya agak berat dan banyak bermain emosi. Ada masanya saya ‘burn out’.

“Lepas habis satu babak, saya terus menangis. Badan saya rasa macam terus rasa sangat penat. Memang penat, tapi itulah kerja. Apa saja kerja pun pasti ada penatnya,” kongsinya.

Mengulas mengenai drama Bulan Henti Bicara, Ezzanie yang menjayakan watak Zulfa bagaimanapun berharap agar penonton dapat merasai kelainan yang ditonjolkan dalam naskhah ini.

“Saya harap penonton tidak samakan saya dengan watak itu sebab kedua-dua watak berada pada emosi yang hampir sama. Perasaan dalam beberapa babak memang hampir serupa, cuma sentuhan pengarah berbeza. Jadi saya harap penonton nampak perbezaan karakter itu,” ujarnya.

Selain Ezzanie, drama arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Farah Ahmad dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN