AMPANG: Meskipun berdepan cabaran untuk mendapatkan tajaan, penyanyi, Atilia Haron meluahkan rasa teruja apabila berpeluang untuk menggunakan mikrofon yang pernah digunakan oleh penyanyi antarabangsa, Adele pada Atilia Haron in Concert, 19 September ini.
Lebih membanggakan, Atilia merupakan penyanyi pertama di Asia yang dapat menggunakan mikrofon tersebut, selain lega segala persiapan yang berkaitan dengan teknikal turut dipermudahkan apabila mendapat tajaan sistem bunyi dari Jerman.
“Alhamdulillah, sistem bunyi saya dapat tajaan sebab saya memang ada ramai kenalan sejak dulu. Maklumlah dulu pun berkahwin dengan seorang jurutera bunyi.
“Saya juga dapat tajaan daripada d&b audiotechnik dari Jerman. Lepas itu mikrofon yang saya akan pakai adalah mikrofon yang pernah dipakai oleh Adele. Saya orang pertama di Asia yang menggunakan mikrofon itu.
“Sudah tentu saya rasa sangat berbesar hati. Tapi janganlah sumbang. Kalau sumbang memang malulah saya. Mujur juga ada Datuk Freddie Fernandez banyak membantu menguruskan pelbagai perkara berkaitan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Atilia Haron in Concert di The Campus Ampang, baru-baru ini.
Menurut Atilia, dia juga tidak sabar untuk menghiburkan peminat setianya dengan deretan lagu hitsnya pada malam konsert itu nanti.
“Saya memang sangat menantikan konsert ini. Saya sentiasa menantikan persembahan secara langsung. Saya sebenarnya bukan jenis penyanyi yang hanya menyanyi satu lagu di pentas.
“Sebab bila saya dijemput menyanyi satu lagu di televisyen, saya akan jadi sangat gemuruh dan selalunya persembahan itu tidak menjadi seperti yang saya harapkan.
“Sudah banyak kali berlaku. Semasa Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) begitu, Anugerah Industri Muzik (AIM) pun begitu. Lama-kelamaan penerbit pun mungkin fikir saya tidak boleh lakukannya.
“Itulah kelemahan saya. Tapi kalau beri saya satu konsert penuh, 14 lagu, dua set atau 20 lagu, saya boleh. Ibu saya dahulu menyanyi di tiga kelab dalam satu malam. Setiap kelab dia akan nyanyi sekitar 20 lagu. Saya membesar melihat semua itu. Saya fikir begitulah kerja seorang penyanyi,” ujarnya.
Atilia Haron in Concert bakal diadakan di Robert’s Theatre, The Campus Ampang pada 19 September nanti bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-52 tahun serta penglibatannya dalam industri seni yang sudah melebihi empat dekad.
Konsert berdurasi 90 minit itu bakal menampilkan lebih 40 buah lagu daripada katalog muzik Atilia, termasuk karya-karya ikonik, lagu baharu serta beberapa duet istimewa dalam susunan muzik segar yang disulam dengan naratif perjalanan hidupnya.










