KUALA LUMPUR: Jenama ramyun terkemuka Korea, NONGSHIM, buat julung kali tampil sebagai penaja program realiti hiburan Big Stage Rocketfuel musim ketujuh sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan jenamanya di pasaran Malaysia.
Bersempena ulang tahun ke-40 penubuhannya, penajaan itu mencerminkan strategi baharu syarikat dalam memperluaskan capaian jenama menerusi platform hiburan yang mempunyai pengaruh besar terhadap pengguna tempatan.
Pengedar eksklusif NONGSHIM di Malaysia, GBA Corporation Sdn. Bhd. berkata, perubahan corak pemasaran masa kini menyaksikan penajaan program televisyen menjadi antara pendekatan paling berkesan dalam meningkatkan kesedaran jenama, membina keyakinan pengguna dan memperkukuhkan penglibatan menerusi platform digital.
Pengurus Komersil GBA Corporation Sdn. Bhd., Foo Siew Kheng berkata, strategi pemasaran tidak lagi bergantung kepada pengiklanan konvensional semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada platform yang mampu mendekati kumpulan sasaran secara lebih berkesan.
“Melalui Big Stage Rocketfuel, NONGSHIM bukan sahaja ingin meningkatkan pengenalan jenama, malah berkongsi nilai positif dengan masyarakat serta mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama makanan Korea yang diyakini pengguna di peringkat antarabangsa.
“Program ini turut menjadi medium untuk memperkenalkan pengalaman menikmati makanan Korea yang autentik, berkualiti premium dan mudah disediakan kepada lebih ramai pengguna, khususnya golongan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kerjasama NONGSHIM sebagai penaja utama program berkenaan.

Ditubuhkan pada 1987, GBA Corporation Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat pengedaran dan pemasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) terkemuka di Malaysia yang memasarkan pelbagai jenama makanan dan minuman antarabangsa ke pasaran tempatan.
Mengulas pemilihan Big Stage Rocketfuel, Siew Kheng berkata, program tersebut dilihat selari dengan aspirasi NONGSHIM yang sentiasa menitikberatkan kualiti, konsistensi dan keaslian dalam setiap produk yang ditawarkan.
Katanya, sama seperti SHIN Ramyun yang kekal menjadi pilihan pengguna di seluruh dunia sejak empat dekad lalu, pertandingan itu turut mencari bakat yang bukan sekadar menyerlah, malah mampu mengekalkan prestasi dan relevan dalam industri hiburan.
“Seperti SHIN Ramyun yang terus menjadi pilihan pengguna selama 40 tahun, kami mahu melihat bakat yang memiliki identiti tersendiri, konsisten dan berdaya saing untuk terus kekal dalam industri.
“Nilai inilah yang menyatukan NONGSHIM dengan Big Stage Rocketfuel, iaitu menghargai kualiti, ketulenan dan keberanian untuk terus berada di puncak,” katanya.
Big Stage Rocketfuel yang mula bersiaran pada 28 Jun lalu setiap Ahad malam menampilkan persaingan penyanyi solo dan duo bagi merebut gelaran juara musim ketujuh.
Antara peserta yang masih bersaing ialah Qilo, Yad-Z, Ranisha, Adam & Nazmie, Danial Kifli, Sufie Rose, Aliff Kimiey, Danny dan Hussain selepas penyingkiran Rieffa serta Sabrina.
Program itu dihoskan oleh Nabil Ahmad bersama Azeva, manakala Akim Ahmad, Aisha Retno dan Hael Husaini bertindak sebagai juri tetap dengan keputusan pertandingan ditentukan sepenuhnya menerusi pemarkahan juri.










