PETALING JAYA: Pelakon, Lydia Ibtisam, 46, disahkan meninggal dunia selepas dikhabarkan kritikal akibat komplikasi penyakit autoimun serta jangkitan kuman yang menjejaskan fungsi organ dalamannya, sebentar tadi.
Khabar duka itu dikongsikan oleh pelakon Mimi Ernida menerusi sebuah hantaran di Threads yang sebentar tadi.
“Assalamualaikum… Nur Ibtisam Abdul Wahab (Lydia Ibtisam) baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulisnya.
Dalam masa sama, penyanyiyang juga bintang Akademi Fantasia Elliza Razak turut mengesahkan perkara sama menerusi perkongsian di InstaStory miliknya.
Terdahulu, Elliza yang juga sahabat baik Allahyarham memohon orang ramai mendoakan kesihatan Lydia selain mendedahkan Allahyarham telah beberapa kali menerima rawatan di hospital sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot sejak kebelakangan ini.
Allahyarham Lydia Ibtisam dikenali menerusi lakonannya dalam drama Impian Illyana dan pernah membintangi beberapa naskhah televisyen lain sepanjang pembabitannya dalam industri seni tanah air.










