Kalau perlu saya kotor, saya kena kotor - Amir Ahnaf - Utusan Malaysia

Kalau perlu saya kotor, saya kena kotor – Amir Ahnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amir Ahnaf, 26, tidak kisah mengotorkan diri atau tampil selekeh sekiranya tuntutan watak memerlukannya berbuat demikian demi memastikan karakter yang dibawakan kelihatan hidup dan meyakinkan.

Bagi Amir, seorang pelakon perlu bersedia menjadi ‘kanvas’ kepada visi pengarah dan penulis, selain mengetepikan soal penampilan diri apabila berada di hadapan kamera.

Justeru, ketika membawakan watak Imran menerusi drama bersiri Cinta Dalam Sekam terbitan Viu, Amir tidak berdepan masalah untuk mengubah penampilannya menjadi seorang pemuda kampung, sesuai dengan latar masa naskhah berkenaan.

“Kalau watak itu memerlukan saya untuk jadi kotor, saya kena jadi kotorlah. Pelakon bertindak sebagai kanvas di dalam bingkai. Jadi, kalau pengarah dan penulis mahukan kita menjadi biru, kita kena jadi biru.

“Kalau kita pula mahu jadi merah atau kuning, itu bermaksud kita sendiri tidak percaya kepada karakter tersebut. Apabila kita tidak percaya, karakter itu tidak akan menjadi jujur dan tidak dapat diterjemahkan dengan jujur di hadapan kamera.

“Bagi saya sebagai pelakon, saya perlu benar-benar tulus dengan apa yang saya lakukan. Selagi saya jujur dalam membawakan sesuatu watak, selagi itulah saya percaya penonton juga dapat merasakan kejujuran tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Tayangan Perdana Drama Viu Original Cinta Dalam Sekam dan acara What’s Next On Viu yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas cabaran sepanjang penggambaran Cinta Dalam Sekam, Amir berkata, keadaan cuaca panas antara perkara yang perlu dihadapi barisan pelakon dan kru memandangkan drama berkenaan merupakan sebuah karya berlatar zaman.

Menurut Amir, pemilihan lokasi juga perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan elemen moden tidak mencacatkan visual dan suasana yang mahu diketengahkan.

“Cabaran utamanya memang panas, sangat panas. Disebabkan cerita ini merupakan sebuah karya berlatar zaman, kami tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan lokasi yang mempunyai penghawa dingin atau unsur-unsur moden yang jelas kelihatan.

“Kalau di rumah, misalnya, kami hanya boleh menggunakan kipas dan penghawa dingin tidak boleh kelihatan dalam visual. Kebanyakan lokasi penggambaran juga perlu benar-benar sesuai dengan latar zaman supaya tidak kelihatan bangunan moden dan sebagainya.

“Kebanyakan penggambaran dilakukan di sekitar Rawang, Selangor termasuk kawasan hutan dan perkampungan. Memang kami langsung tidak menjalani penggambaran di Kuala Lumpur. Setiap hari saya, Siti dan seluruh barisan pelakon serta kru perlu mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk sampai ke set,” katanya.

Bagaimanapun, Amir tidak melihat kesukaran tersebut sebagai alasan untuk merungut kerana menganggapnya sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang pelakon.

Dalam pada itu, Cinta Dalam Sekam turut menemukan Amir dengan pelakon, Siti Khadijah Halim buat kali pertama. Mengakui pada awalnya sedikit sukar untuk mengenali personaliti sebenar aktres berkenaan, Amir berkata, hubungan mereka semakin baik selepas melalui proses penggambaran bersama.

“Ini kali pertama saya bekerja dengan Siti Khadijah. Pada awalnya, saya rasa agak susah juga hendak mengenali dia sebab dia ini sedikit pelik. Tetapi lama-kelamaan, saya dapati dia sebenarnya seorang yang sangat baik, manis, baik hati dan suka bergurau.

“Saya percaya seorang pelakon perlu mempunyai kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan setiap pasangan lakonannya. Bukan sekadar menyesuaikan diri, tetapi kita perlu sentiasa mengasah kemahiran berkomunikasi kerana ini merupakan sebuah kerjasama.

“Dalam cerita ini, bukan saya seorang yang bekerja untuk menjayakannya. Saya dan Siti bekerjasama, begitu juga dengan Haidar Sanuddin. Keserasian saya dengan Siti pula berlaku secara semula jadi dan tidak dipaksa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN