Sering dikenali sebagai pelakon dan model yang menghiasi kaca televisyen, sejak beberapa tahun ke belakangan ini, Natasha Hudson memilih untuk memperlahankan kerjaya seninya dan memberi ruang kepada dirinya meneroka bidang yang begitu dekat di hati, iaitu seni pembuatan tembikar dan seramik.
Berpindah ke Langkawi membuka lembaran baharu, pemilik nama Natasha Liana Hudson ini mula menceburi bidang seni kraf tangan itu sebagai seorang pelajar.
Kini, dia bukan sahaja memiliki studio sendiri, malah sudah mula berkongsi ilmu dengan orang ramai menerusi kelas tembikar yang diusahakannya di bawah jenama The Ginger Vessel.
“Sebenarnya sejak saya berpindah ke Langkawi kira-kira lima tahun lalu, saya mula mempelajari seni pembuatan tembikar bersama salah seorang mentor saya di sini.
“Pada peringkat awal saya memberi fokus kepada teknik hand building. Selepas itu saya berguru dengan beberapa tenaga pengajar lain di seluruh Malaysia dan juga di luar negara, sama ada bersemuka mahupun dalam talian,” katanya kepada Pancaindera.
Tidak mahu sekadar membuka sebuah studio biasa, Natasha mempunyai visi lebih besar apabila mahu menjadikan ruang itu sebagai pusat pengalaman seni yang mampu dinikmati semua lapisan masyarakat.

“Saya tidak melihat studio ini sekadar ruang seni biasa. Saya mahu ia menjadi pusat orang ramai menimba pengalaman. Orang bukan sahaja datang belajar membuat tembikar, tetapi turut menikmati pengalaman berada di rumah kampung,i minuman daripada hasil tanaman sendiri dan merasai suasana tenang,” jelasnya.
Bercerita mengenai The Ginger Vessel, selain menawarkan kelas kepada orang dewasa, Natasha turut memikirkan aktiviti bersesuaian dengan seluruh peringkat usia termasuk kanak-kanak.
“Bagi kanak-kanak yang masih kecil, kelas saya lebih tertumpu kepada aktiviti mewarna tembikar yang siap dibentuk.
“Saya kurang menggalakkan kanak-kanak terlalu kecil mengikuti kelas membuat tembikar kerana mereka masih belum mampu mengikut arahan dengan baik. Kebiasaannya mereka hanya mahu bermain tanah liat. Anak perempuan saya baru berusia dua tahun. Dia memang suka bermain tanah liat ketika saya bekerja, tetapi saya biarkan dia meneroka mengikut caranya sendiri.
“Sebab itu, saya lebih mengesyorkan aktiviti mewarna seramik untuk kanak-kanak kecil kerana ia lebih sesuai dan selamat. Malah, saya juga menggunakan tanah liat yang asli kerana tidak terdedah dengan bahan kimia,” kongsinya.

Bagi ibu kepada lima cahaya mata itu, seni pembuatan tembikar itu bukan sekadar hobi, sebaliknya satu terapi yang berjaya mendamaikan jiwanya.
“Walaupun saya pernah aktif dalam bidang lukisan, saya merasakan tembikar lebih dekat dengan jiwa saya. Apabila sudah lama tidak memegang tanah liat, saya akan rasa resah. Ia ibarat terapi untuk saya.
“Dalam masa sama, saya boleh mendidik orang ramai terutamanya kanak-kanak yang memiliki masalah perkembangan berkaitan motor skil lebih-lebih lagi golongan autisme,” jelasnya.
Tambah Natasha, proses menghasilkan tembikar turut mengajarnya mengenai kesabaran kerana emosi seseorang memberi kesan kepada kerja yang dihasilkan.
“Jangan takut untuk mencuba. Seni pembuatan tembikar mengajar kita tentang kesabaran dan memberi ketenangan. Hasilnya tidak semestinya sempurna, tetapi kepuasan menghasilkan sesuatu dengan tangan sendiri itu sangat bermakna,” ujarnya.










