KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Atikah Suhaime mengimbau kembali detik awal percintaannya bersama suami apabila mendedahkan mereka pernah memilih restoran mamak sebagai lokasi untuk meluangkan masa bersama.
Perkongsian itu dibuat Atikah atau nama sebenarnya, Nur Atikah Mohd Suhaime, 35, ketika memberi respons terhadap pandangan seorang pengguna Threads mengenai budaya temu janji di restoran mamak yang menjadi perbualan dalam kalangan warganet.
Menerusi hantaran tersebut, individu berkenaan mendakwa sesetengah wanita sanggup merendahkan standard dalam hubungan semata-mata mahu dilihat sebagai pasangan yang baik dan mudah bertolak ansur.
Individu terbabit turut berpandangan bahawa menetapkan standard tinggi bukan bermaksud seseorang wanita sukar dijaga, sebaliknya mencerminkan keyakinan serta kesedaran terhadap nilai diri.
Bagaimanapun, Atikah tampil berkongsi pengalamannya sendiri dengan memberitahu bahawa restoran mamak pernah menjadi antara lokasi pilihannya untuk keluar bersama suami.
Menurut pelakon kelahiran Singapura itu, pilihan berkenaan bukan disebabkan kekangan kewangan, sebaliknya kerana mereka selesa menikmati waktu bersama dalam suasana santai.
“Dulu saya pernah keluar ‘dating’ dengan suami di mamak. Kami pesan teh tarik dan Maggi goreng.
“Terutama pada hari yang saya malas nak bersiap atau bersolek. Dia bukan tak berkemampuan,” katanya.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa bagi Atikah, lokasi atau nilai hidangan bukan ukuran utama dalam sesebuah temu janji, sebaliknya keselesaan ketika meluangkan masa bersama pasangan.
Sebelum ini, perdebatan mengenai konsep ‘mamak date’ tercetus selepas seorang pengguna media sosial menyifatkan budaya tersebut sebagai usaha minimum dalam hubungan, khususnya sekiranya dijadikan kebiasaan oleh pasangan yang sebenarnya mempunyai kemampuan untuk melakukan lebih daripada itu.










