AMPANG: Hadir memberikan sokongan padu buat sahabat baik, Atilia Haron, penyanyi, Mimi Fly menyifatkan nilai persahabatan bukanlah pengukur sebenar dalam adat berkawan.
Menurut Mimi atau Shamimi Amalina Norhisham, persahabatan dalam kalangan artis bukan sekadar hubungan sosial, sebaliknya menjadi sistem sokongan yang penting dalam memastikan industri hiburan terus berkembang secara sihat.
“Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang persahabatan. Tetapi, artis memerlukan artis. Kawan memang ramai, tetapi hanya rakan artis benar-benar memahami apa yang kita lalui.
“Sebab itu saya sangat menjaga hubungan dengan rakan-rakan artis kerana siapa lagi yang benar-benar faham kehidupan kita kalau bukan mereka?,” katanya.
Mimi berkata demikian ketika ditemui di sidang media Atilia Haron in Concert serta Rise & Revive 2.0, di The Campus Ampang, pada Khamis.
Meskipun tidak dapat menolak kemungkinan berlaku perselisihan atau konflik dalam kalangan selebriti, dia seboleh-bolehnya mahu hubungan tersebut dijaga dan tidak dibiarkan menjadi semakin buruk.
“Saya faham kalau ada ‘drama’ salah faham atau pertembungan sesama selebriti. Tetapi kalau boleh, hubungan itu perlulah kita jaga. Tidak guna kalau kita baik dengan peminat dan penyokong, tetapi kita gagal memupuk rasa hormat dan kasih sayang terhadap rakan-rakan dalam industri sendiri.
“Sebenarnya artis perlukan artis. Sebab artis yang boleh menyokong artis dan faham apa yang artis perlukan. Apa kehendak artis, orang seni juga yang tahu,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Angkat itu berpendapat usaha menyebarkan perkara negatif jauh lebih mudah berbanding membina hubungan yang positif dan saling menyayangi dalam industri.
“Hubungan sesama artis itu penting. Sebab itu saya selalu pupuk hubungan tersebut. Tidak kiralah Adira, Atilia atau sesiapa sahaja. Industri kita pun kecil saja. Untuk menyebarkan perkara toksik dan negatif sangat mudah.
“Sebarkan sahaja perkara negatif, memang senang. Tetapi untuk pupuk rasa sayang, menjadi positif dan mempunyai semangat saling menyayangi itu payah. Mahu menyayangi sebaik-baik ciptaan Tuhan, itu yang susah,” katanya.
Dalam masa sama, Mimi turut mengingatkan supaya orang ramai tidak terlalu cepat membuat andaian atau menghukum seseorang tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Penting untuk kita ada perasaan mahu memupuk hubungan itu lebih-lebih lagi apabila mahu berjumpa atau bekerjasama dengan orang baharu.
“Kalau kita sentiasa ada perasaan acuh tidak acuh seperti, ‘Aku tidak tahu aku suka dia atau tidak,’ lama-lama perasaan itu akan membesar.
“Sangat mudah untuk mengata dan menghakimi tanpa kita usul periksa atau mengetahui asal-usul cerita. Kita mudah sahaja melemparkan macam-macam perkara.
“Jadi, benda itu yang saya tidak buat sekarang. Saya lebih melihat kepada pentingnya memupuk persahabatan sesama artis. Sebab dengan itulah artis boleh sepakat. Kalau kita sepakat, kita boleh buat banyak perkara bersama,” ujarnya.










