PETALING JAYA: Hadir dengan berkerusi roda dan bertongkat pada Malam Gala Tiket Sehala, pelakon, Sharifah Sakinah mendedahkan dirinya mengalami – kecederaan pada buku lali kaki kiri selepas terjatuh di hadapan rumahnya kira-kira tiga minggu lalu.
Menurut Sakinah, doktor menasihatkannya untuk berehat selama tiga bulan serta mencadangkan untuk menjalani pembedahan, namun dia memilih untuk membiarkannya pulih sendiri kerana masih mempunyai beberapa projek lakonan yang perlu diselesaikan.
“Saya terjatuh biasa sahaja di hadapan rumah. Ketika itu saya leka bermain telefon bimbit melihat media sosial sehingga kaki saya terseliuh dan terjatuh.
“Doktor memang suruh saya berehat selama tiga bulan, tetapi saya tak boleh sebab komitmen kerja saya sangat tinggi. Doktor pun cadangkan saya menjalani pembedahan, tetapi saya menolak.
“Lepas ini ada promosi jelajah (road tour) dan macam-macam lagi. Jadi, saya cuma cuba kurangkan pergerakan sebanyak mungkin. Apa sebenarnya yang berlaku sama ada patah atau koyak ligamen, biarlah itu antara saya dengan doktor,” katanya.
Tambahnya, dia membuat keputusan tersebut kerana mahu memastikan proses pemulihan benar-benar sempurna, malah enggan mengganggu jadual kerja yang sudah sedia padat.
“Saya percaya semuanya akan pulih dengan izin Allah. Doakan saya. Ya, doktor suruh saya buat pembedahan. Tapi saya cakap tak mengapa, saya tahu apa yang saya hendak buat.
“Saya memang perlu lebih berhati-hati sebab saya akan terus bekerja selagi diberi umur panjang. Kebanyakan watak saya pula memerlukan aksi agresif seperti memanjat dan sebagainya. Jadi saya nak betul-betul sembuh dahulu.
“Saya percaya zaman dahulu pun orang boleh sembuh tanpa pembedahan. Kalau saya buat pembedahan, tempoh pemulihan mungkin akan jadi lebih lama. Saya masih boleh berjalan, cuma saya tidak mahu beri tekanan yang berlebihan pada kaki,” ujarnya.
Mengulas mengenai penglibatannya menerusi filem Tiket Sehala, filem arahan Rahila Ali itu mengangkat kisah sidiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia di Korea Selatan.
Filem ini menghimpunkan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, selain menjalani penggambaran di Malaysia serta Korea Selatan.
Selain Sakinah, antara barisan pelakon yang turut membintangi naskhah itu ialah Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ainee Mustafa dan Saha Champ.
Filem terbitan Key Billions itu bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 6 Ogos ini.










