Adik-beradik tidak pernah berpaling tadah - Syatilla Melvin - Utusan Malaysia

 Adik-beradik tidak pernah berpaling tadah – Syatilla Melvin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lumrah dalam ikatan kekeluargaan, ada kalanya adik-beradik bermasam muka dan bertelagah disebabkan isu kecil. Namun, perselisihan faham sedemikian jarang berlaku kepada Syatilla Melvin dan adik-beradiknya yang mesra disapa sebagai The Melvins.

Bukan untuk mengagungkan kisah keluarga ini, tetapi ada iktibar yang boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja yang sedang berdepan perselisihan faham antara adik-beradik.

Apabila ditanya, Syatilla berkata, antara nikmat yang paling besar Allah SWT kurniakan kepadanya adalah nikmat adik-beradik yang tidak pernah berpaling tadah dan sentiasa ada ketika waktu getir.

“Tidak pernah, jawapan saya memang tidak penah kami bermasam muka. Saya tidak perlu fikir jawapan itu sebab InsyaAllah memang tidak akan terjadi.

“Alhamdulillah, memang Allah itu bagi satu hubungan yang sangat istimewa kepada kami adik-beradik. Kadang-kadang, bila saya renung balik, Ya-Allah, besarnya rezeki Allah bagi pada saya, katanya kepada Utusan Malaysia.

Dilayangkan soalan mengenai kondisi kesihatan bapanya, Amirol Melvin Abdullah yang kini berdepan dengan kanser darah yang semakin melarat, Syatilla bertegas bahawa hubungan adik-beradik itu lagi terserlah ketika membabitkan kesihatan bapanya itu.

“Baru-baru ini, Allah uji dengan keadaan ayah yang kurang sihat. Jadi, bila Allah uji dengan situasi ayah tidak okey, dari situ baru kita tahu kewujudan adik-beradik.

“Kami memang akan pastikan kami memang betul-betul ada masa untuk ayah. Paling menariknya, kami semua bersatu. Ramai-ramai jaga ayah di hospital.Kami berlima semua perempuan. Jadi, itu antara perkara yang saya rasa macam tersentuh. Semua turun padang dan tolong uruskan. Kalau mahu harapkan ibu pun, dia sudah tidak larat,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung kontroversi yang dihadapi oleh adiknya iaitu Syida Melvin, Syatilla bagaimanapun menegaskan soal keadilan.

Jika diimbas semula, adiknya, Syida, pernah mendedahkan bahawa dirinya pernah dizalimi oleh seorang individu yang dilabelnya sebagai ‘SS’ yang juga merujuk kepada suaminya.

Syida mendakwa, dia sanggup mengorbankan harta peribadi demi memastikan perniagaan mereka dapat beroperasi dengan baik, malah tidak mengambil gaji selama beberapa bulan demi kestabilan syarikat. 

Namun, segala pengorbanan itu didakwa berakhir dengan pengkhianatan.

Rentetan kemelut itu, Syatilla mahu adil dan ada pendirian dalam keluarganya jika berlaku sebarang isu atau kontroversi membabitkan mana-mana ahli keluarganya.

Tegasnya, hubungan akrab tidak bermaksud mereka akan membela kesalahan adik-beradik secara membabi buta sekiranya pihak berkenaan berada di pihak yang salah.

“Sebenarnya, saya tidak akan pertahankan kalau benda itu tidak betul. Tidak kisah macam mana sekali pun. Walaupun itu adik saya sendiri, kalau kau buat salah, kau tetap salah.

“Tetapi, jika perkara yang berlaku adalah sebaliknya, kita sebagai adik-beradik yang melihat situasi ini, cuit kaki kiri, kaki kanan terasa.

“Apatah lagi kita tahu situasi sebenar apa yang berlaku di belakang. Walau apa pun jadi, saya akan pastikan adik saya berpihak kepada benda yang betul. Anak-anak, adik-beradik akan terbela dan hidup dia akan selamat dengan saya, InsyaAllah,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN