TV3 umum jualan tiket AJL40 bermula malam ini - Utusan Malaysia

TV3 umum jualan tiket AJL40 bermula malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penantian peminat akhirnya berakhir apabila TV3 hari ini mengumumkan jualan tiket rasmi Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) akan dibuka bermula pukul 9 malam ini.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai tarikh dan lokasi penganjuran AJL40 yang menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat sejak beberapa minggu lalu menerusi kempen #ROADTOAJL40.

AJL40 dijadual berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, dengan tiket boleh dibeli menerusi platform rasmi www.wowtix.com.my.

Penganjuran edisi ke-40 anugerah muzik berprestij itu dijangka sekali lagi menghimpunkan penggiat industri muzik tanah air bagi meraikan karya terbaik serta menghargai bakat kreatif di sebalik penghasilan lagu-lagu yang bertanding.

Sebelum ini, media sosial TV3 dibanjiri pelbagai pertanyaan daripada peminat yang tidak sabar menantikan pengumuman rasmi berhubung jualan tiket dan lokasi acara tersebut.

Antara komen yang mencuri perhatian termasuk permintaan agar jualan tiket dibuka segera, selain ada yang mahu tarikh rasmi diumumkan lebih awal bagi memudahkan mereka membuat perancangan menghadiri acara berkenaan.

Malah, terdapat juga peminat yang mengakui mahu menempah penginapan lebih awal serta merancang pertemuan bersama keluarga bagi menyaksikan malam kemuncak AJL40 secara langsung.

Pembukaan jualan tiket malam ini menandakan kempen #ROADTOAJL40 memasuki fasa lebih rancak menjelang malam anugerah.

Selain persembahan pada malam kemuncak, TV3 turut merancang pelbagai aktiviti sampingan termasuk sesi Meet & Greet, Muzik Lab serta beberapa program lain bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ke-40 acara berprestij itu.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini AJL40 menerusi media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok menggunakan tanda pagar #AJL40 serta #GENERASISELAMANYAJUARA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN