KUALA LUMPUR: Pelakon,Fatiya Latiff mendedahkan dia pernah dihubungi seorang penerbit yang pada awalnya disangka ingin menawarkan peluang berlakon.
Bagaimanapun, kongsi Fatiya, tujuan sebenar panggilan itu hanyalah untuk memaklumkan bahawa dia tidak lagi akan diberikan watak utama dalam mana-mana projek.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Fatiya atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 39, berkata dia tidak tersinggung dengan perkara tersebut kerana memahami lumrah dunia seni yang sentiasa mengalami pasang surut.
Menurut pelakon yang popular menerusi drama Ariana Rose itu, seseorang artis lazimnya menjadi rebutan ketika berada di puncak populariti, namun mudah dilupakan apabila nama mereka tidak lagi menjadi perhatian.
“Saya pernah dihubungi seorang penerbit yang kononnya mahu mengambil saya berlakon. Namun, rupa-rupanya dia hanya mahu memberitahu bahawa saya tidak lagi akan memegang watak utama.
“Saya tidak terasa hati kerana saya faham bagaimana putaran hidup sebagai seorang pelakon. Ketika popular, ramai penerbit, stesen televisyen dan pengasas produk mahu bekerjasama, tetapi apabila sudah tidak ‘panas’, semuanya berubah,” katanya.
Tambah Fatiya, situasi sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa dan boleh berlaku kepada mana-mana artis, sama ada cepat atau lambat.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketiadaan tawaran berlakon bukan lagi perkara yang menjadi keutamaannya kerana kini sedang memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakan.
“Saya tidak terlalu mengharapkan tawaran daripada mana-mana syarikat kerana kini sedang membangunkan perniagaan sendiri.
“Walaupun masih kecil, saya yakin perniagaan itu mampu berkembang dengan lebih baik pada masa depan. Saya hanya mengharapkan doa dan sokongan daripada semua,” katanya.










