RAWANG: Usahawan, Datuk Seri Adnan Abu Bakar atau Datuk Red menjelaskan, keputusan untuk menarik balik permohonan kes pengesahan rujuk terhadap bekas isterinya, penyanyi Adira Suhaimi dibuat bagi menamatkan kemelut yang berlarutan antara mereka.
Adnan, 46, berkata, dia sudah berasa penat dengan proses mahkamah yang berpanjangan selain tidak mahu isu berkenaan terus menjadi perhatian umum.
“Kalau boleh saya mahu tamatkan sahaja perkara ini. Saya sudah penat kerana jika keadaan berlarutan, akhirnya saya juga yang dipersalahkan.
“Saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini. Sebab itu saya mengambil keputusan untuk menarik balik kes,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Syariah Gombak Barat, di sini, hari ini.
Menurut Datuk Red, harapannya adalah agar segala urusan berkaitan kes itu dapat diselesaikan pada prosiding akan datang yang dijadualkan pada 9 Julai ini.
“Kalau boleh, saya mahu semuanya selesai secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Adira, 35, berkata, dia bersedia menerima apa sahaja keputusan mahkamah memandangkan prosiding kes berkenaan sudah berada di peringkat pertengahan.
“Saya bersedia menerima apa sahaja keputusan mahkamah. Tiada apa yang berubah dan kehidupan saya tetap berjalan seperti biasa.
“Saya masih boleh bekerja dan menguruskan anak-anak seperti biasa. Alhamdulillah, tiada sebarang masalah,” katanya.
Pada prosiding hari ini, Mahkamah Syariah Gombak Barat menolak permohonan Adnan untuk menarik balik kes pengesahan rujuk yang difailkannya terhadap Adira.
Mahkamah turut menetapkan 9 Julai ini sebagai tarikh prosiding seterusnya bagi mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak.
Sebelum ini, prosiding pengesahan lafaz rujuk yang berlangsung pada 23 April lalu ditangguhkan ke hari ini sebelum diteruskan dengan permohonan penarikan balik kes oleh Adnan.
Terdahulu, Adnan memfailkan permohonan pada 18 Disember tahun lalu dengan mendakwa lafaz rujuk berlaku pada Mei 2024 dalam tempoh idah selepas perceraian. Bagaimanapun, Adira dilaporkan tidak mengesahkan dakwaan tersebut.










