Status ibu tunggal bukan satu alasan tidak buat apa-apa - Puteri Sarah Liyana - Utusan Malaysia

Status ibu tunggal bukan satu alasan tidak buat apa-apa – Puteri Sarah Liyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Bagi saya, semua perkara yang saya lakukan sekarang ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab hidup yang perlu saya pikul. Walaupun berstatus ibu tunggal, tanggungjawab itu sangat besar”

“Saya tidak boleh menjadikan alasan status ibu tunggal itu sebagai sebab untuk tidak melakukan apa-apa. Walaupun begitu, saya akan pastikan saya akan jaga kesihatan juga selepas ini,”.

Demikian ujar pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, mengenai realiti kehidupan yang dilaluinya dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu tunggal dan wanita bekerjaya.

Beban berat yang digalas di bahu adakalanya menuntut kekuatan mental sehingga dia terlupa untuk menjaga kesihatannya sendiri.

Meskipun cekal membesarkan anak-anaknya sendirian, dia tidak menafikan ada cabaran yang terpaksa dihadapi setiap hari. Pengorbanan masa dan tenaga demi memastikan masa depan keluarga terjamin.

“Anak-anak semuanya berada dalam keadaan yang baik dan urusan mereka berjalan dengan lancar, Alhamdulillah. Sewaktu saya tiada di rumah, Syaikhul dan Sumayyah masing-masing menghadiri sesi persekolahan mereka.

“Saya memang akan pastikan hari-hari mereka sentiasa diisi dengan aktiviti di sekolah setiap hari. Jadi, mereka sudah ada rutin harian sendiri yang perlu diikuti walaupun saya tiada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Di samping sibuk menguruskan keluarga, Puteri Sarah tetap mahu mencabar diri dengan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Minat yang mendalam dalam dunia perniagaan menjadi pendorong utama buat dirinya mengikuti program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) demi masa depan yang lebih baik.

“Sebabnya, memang setiap hari saya ada sesi siaran langsung (live) untuk perniagaan saya dan sekarang pula sedang banyak tugasan kuliah yang perlu diselesaikan.

“Saya kini sedang menyambung pengajian dalam peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Kolej Universiti Inovatif.

“Saya sudah berada di semester ketiga dan sedang sibuk menyiapkan tugasan yang ketiga untuk pengajian ini. Memang jadual saya sangat padat dengan perniagaan, penggambaran drama, dan juga urusan pengajian,” ujarnya.

Namun, disebabkan jadual harian yang terlalu padat, kesihatannya akhirnya terganggu sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Puteri Sarah mengakui silapnya kerana mengabaikan masalah batuk kering seminggu sebelum dikerjakan di hospital itu.

Kejadian dimasukkan ke wad hospital benar-benar memberi pengajaran kepadanya supaya tidak lagi culas menjaga diri. Sebelum ini, dia sekadar menganggap badannya lesu akibat tidak tahan dengan cuaca panas terik yang melanda ketika ini.

“Sebenarnya saya sudah lama mengalami batuk ini dan rasanya sudah hampir seminggu berlarutan, tetapi saya jenis yang acuh tidak acuh sahaja. Saya fikir ia cuma batuk biasa memandangkan keadaan cuaca sekarang pun memang sangat panas terik, namun rupa-rupanya keadaan menjadi lebih melarat.

“Batuk kering ini menyebabkan tekak saya mengalami banyak luka serta bintik-bintik putih, malah suhu badan juga meningkat sehingga 39 darjah Celsius sewaktu menerima rawatan. Alhamdulillah, semuanya okey sekarang dan disebabkan itulah saya sendiri yang meminta untuk dimasukkan ke dalam wad hospital,” katanya.

Meskipun kini sudah dibenarkan pulang ke rumah, proses pemulihan ternyata memakan masa yang agak lama bagi dirinya. Dia mendedahkan kesan daripada penyakit tersebut masih lagi mengganggu rutin harian dan sistem pernafasannya sehingga kini.

“Benda ini memang memakan masa selama tiga hingga empat hari juga untuk kembali pulih sepenuhnya daripada kesan sakit tersebut. Sampai ke hari ini saya masih lagi batuk dan berasa agak sukar untuk bernafas seperti biasa.

“Saya tiba di unit kecemasan pada waktu pagi dan berada di sana menerima rawatan sehinggalah pukul tujuh malam. Selepas itu, doktor memasukkan ubat dan juga cecair drip kerana badan saya memang mengalami dehidrasi teruk.

“Selepas ini, saya akan lebih menjaga waktu tidur saya kerana kurang tidur menjadi punca utama masalah ini berlaku. Apabila ada sedikit masa terluang, saya akan gunakan untuk menyiapkan penulisan tesis.

“Tesis peringkat master ini memakan banyak tenaga, namun walau sibuk macam mana pun kita tetap kena atur diri sendiri. Kita tidak boleh membiarkan tubuh badan menjadi terlalu penat sehingga jatuh sakit,” ujarnya.

Beralih ke fasa kehidupan peribadi, pelakon berusia 41 tahun ini, sempat meluahkan rasa hairan apabila isu jodoh dikaitkan dengan situasi kesihatannya. Baginya, jatuh sakit adalah perkara lumrah manusia dan langsung tiada kaitan dengan status solonya ketika ini.

Walau bagaimanapun, Puteri Sarah tidak melatah dan secara terbuka mengakui tidak pernah menutup pintu hati untuk berkahwin lagi. Urusan jodoh dan pertemuan masa hadapan diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan takdir Yang Maha Esa.

“Dalam kehidupan saya sekarang, saya sentiasa bersikap terbuka jika ditakdirkan ada jodoh atau sebagainya nanti. Saya tiada masalah dan boleh sahaja kalau mahu mendirikan rumah tangga sekali lagi.

“Kenapa pula saya perlu menutup pintu hati saya untuk menerima kehadiran orang baharu dalam hidup ini. Dari segi kriteria, saya mahukan seorang calon suami yang berkerjaya dan boleh menerima anak-anak saya seadanya,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan kerjaya, Puteri Sarah bakal kembali sibuk di set penggambaran drama menjelang akhir bulan ini. Segala urusan perniagaan dan pengajian sarjananya juga akan diteruskan seperti biasa.

“Saya dijadualkan akan mula masuk ke set penggambaran projek drama terbaharu pada akhir bulan ini juga. Pada masa yang sama, urusan perniagaan dan pengajian master saya juga tetap berjalan macam biasa.

“Alhamdulillah, perniagaan saya semuanya berjalan dengan lancar dan berada dalam keadaan yang sangat baik sekarang. Terima kasih atas doa semua dan saya akan pastikan diri ini mendapat rehat yang cukup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN