PETALING JAYA: Pelakon,Sharifah Shahora menegur sikap segelintir pemandu kenderaan yang malas menggunakan lampu isyarat (signal) ketika mahu membelok ke dalam simpang jalan.
Sharifah atau Sharifah Shahora Syed Akil, 52, berkata, setiap pemilik kenderaan seharusnya menggunakan kemudahan yang sedia ada pada kenderaan mereka bagi mengelakkan kekeliruan.
“Wahai pemandu yang membawa kenderaan, beli kereta ada lampu isyarat kiri dan kanan bukan? Kalau mahu masuk ke dalam simpang, berikanlah lampu isyarat.
“Jangan fikir kereta yang sedang menunggu untuk keluar simpang boleh membaca guna fungsi bluetooth, airdrop, sync, atau satelit ke kereta awak untuk mengetahui sama ada mahu terus atau masuk simpang.
“Sekiranya kereta tidak berderet, tidak mengapalah untuk menunggu,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Malah, pelakon yang popular menerusi drama Imbasan tahun 1974 ini turut membuat perbandingan sinis dengan menyamakan sikap pemandu sekarang dengan pengendali kereta lembu.
“Kalau kereta lembu dahulu pun tahu dan pandai menggunakan tangan untuk memberikan isyarat arah. Awak yang sudah siap ada lampu isyarat pada kenderaan pun malas mahu menggunakannya. Kalau kereta tidak berderet tidak mengapalah menunggu,” katanya.
Untuk rekod, Sharifah Shahora merupakan pelakon dan pelawak berpengalaman yang memulakan kerjaya seni sejak era 1990-an dan kini aktif menguruskan syarikat produksi miliknya, Eleven Field Productions.










