Sentuhan Vidi Aldiano akan sentiasa saya kenang - Isyana Sarasvati - Utusan Malaysia

Sentuhan Vidi Aldiano akan sentiasa saya kenang – Isyana Sarasvati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Indonesia, Isyana Sarasvati mengakui berasa bertuah apabila album terbaharunya, Eklektiko sempat mendapat sentuhan sahabat baiknya, Allahyarham Vidi Aldiano.

Menurut Isyana, kolaborasi tersebut mempunyai nilai sentimental yang cukup besar buat dirinya memandangkan album berkenaan merupakan karya yang sangat peribadi dan menggambarkan pelbagai fasa kehidupan yang pernah dilaluinya.

“Vidi Aldiano merupakan salah seorang sahabat terbaik saya. Saya berasa sangat bersyukur kerana album Eklektiko yang begitu peribadi buat saya turut mempunyai sentuhan dan rasa daripada seorang Vidi Aldiano.

“Saya akan sentiasa mengenang kolaborasi ini. Lagu Frenemy tersebut kami hasilkan bersama pada tahun 2024 dan saya berharap karya ini akan terus hidup serta dikenang sampai bila-bila,” katanya.

Dalam masa sama, pelantun lagu Tetap Dalam Jiwa itu turut menganggap semangat juang yang dimiliki Vidi sebagai sesuatu yang cukup menginspirasikan dirinya sepanjang mereka bekerjasama menghasilkan karya tersebut.

“Vidi sentiasa mempunyai semangat yang sangat besar. Dia tidak pernah menunjukkan kelemahan atau kesukarannya kepada orang lain.

“Kami semua sangat menghargai sikap positifnya, semangat juangnya dan minat yang luar biasa terhadap kehidupan serta muzik. Perkara itu benar-benar memberi inspirasi kepada saya,” kongsinya.

Allahyarham Vidi dikhabarkan telah meninggal dunia pada 7 March lalu selepas tujuh tahun berjuang melawan kanser buah pinggang

Berkongsi mengenai konsert jelajah Asia, Isyana Sarasvati Live In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 17 Julai ini, Isyana berkata, Malaysia merupakan antara destinasi yang cukup istimewa buat dirinya.

Menurutnya, perancangan untuk kembali bertemu peminat di negara ini sebenarnya sudah dibuat sejak sekian lama sebelum akhirnya direalisasikan pada tahun ini.

“Kami sebenarnya sudah merancangnya sudah lama. Pada tahun 2024 saya mengadakan konsert sedekad perjalanan seni, manakala tahun 2025 pula fokus menyiapkan album Eklektiko.

“Jadi saya merasakan tahun 2026 adalah masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan semula muzik saya kepada peminat,” jelasnya.

Tambah Isyana, konsert berkenaan bukan sahaja akan menampilkan lagu-lagu daripada album Eclectico, malah menghimpunkan karya daripada keseluruhan katalog muziknya sejak album pertama sehingga album kelima.

“Saya berharap begitu. Namun, kami masih mempertimbangkannya kerana konsert ini bukan hanya memberi tumpuan kepada album Eklektiko semata-mata. Saya akan membawakan lagu-lagu daripada kesemua album saya, dari album pertama hingga album kelima,” ujarnya.

Konsert Isyana Sarasvati Live In Kuala Lumpur bakala berlangsung di Zepp Kuala Lumpur. Kemudian, penyanyi itu akan meneruskan siri jelajahnya empat negara lain seperti Korea Selatan, Jepun, Manila dan Taiwan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN