Selepas hampir dua tahun tidak melahirkan sebarang karya solo, vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo Sambodo, kembali mewarnai industri muzik tanah air menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul ‘Semua Dulu’.
Kemunculan semula ini turut menandakan fasa baharu buat Adi Priyo selepas 21 tahun bergelar anak seni, di mana beliau kini mahu terus meneroka kebolehan diri sebagai penyanyi solo dan komposer.
Dicipta sepenuhnya oleh Adi sendiri, ‘Semua Dulu’ mengangkat naratif lara mengenai sebuah perpisahan akibat hubungan yang tidak lagi sehaluan, sehingga setiap janji manis masa lalu bertukar menjadi kenangan yang menyakitkan.
“Lagu ini mengisahkan bagaimana cinta yang dulunya menjadi tujuan utama, akhirnya berubah menjadi asing selepas perpisahan berlaku. Kesepian itu membuatkan kenangan lama terasa lebih menggigit dan melukakan hati,” katanya.
Berkongsi mengenai proses pembikinan, lagu yang mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan ini mendapat sentuhan Amir Sulaiman dari segi rakaman, selain dibantu oleh Hafeez Aledrus sebagai penerbit manakala Adi bertindak sebagai penyusun muzik (music arranger).
Bagaimanapun, Adi mendedahkan proses menyiapkan single ini tidak lari daripada ujian tersendiri terutamanya melibatkan faktor kecederaan atau masalah kesihatan semasa sesi rakaman dijalankan.
“Pada mulanya, cabaran utama memang berkaitan dengan kesihatan saya ketika mahu merakamkan single ini. Namun alhamdulillah, atas sokongan semua pihak, saya dapat menyiapkannya dengan sempurna,” jelasnya.
Istimewanya, muzik video rasmi lagu terbitan NAR Music ini turut menampilkan beberapa individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam diari hidup Adi, bagi berkongsi coretan pahit manis kehidupan mereka untuk dihayati peminat.
‘Semua Dulu’ kini sudah boleh mula didengari dan distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, iTunes, Deezer dan YouTube.









