PETALING JAYA: Penyanyi Harith Zazman mendedahkan dia memilih untuk tidak melancarkan sebarang lagu baharu sejak dua tahun lalu bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fasa awal alam rumah tangganya.
Harith atau Mohamad Harith Saifuzzaman, 32, berkata, keputusan memperlahankan kerjaya seni itu diambil kerana mahu bersedia memikul tanggungjawab sebagai bapa serta mengimbangi komitmen pengurusan anak sulungnya yang kini berusia empat tahun.
“Selepas melancarkan solo terakhir kira-kira dua tahun lalu, saya mengambil masa untuk berehat seketika bagi bersedia memikul tanggungjawab sebagai bapa. Ketika awal perkahwinan, saya akui agak sukar dan bimbang tidak tahu bagaimana mahu membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
“Sebab itu saya memilih untuk fokus terlebih dahulu kepada urusan keluarga dan memastikan semuanya stabil sebelum kembali ke studio rakaman. Lagipun anak masih kecil dan banyak benda perlu urus termasuklah bab tidurkan dia. Jadi, saya mahu belajar seimbangkan perkara itu dahulu,” katanya.
Harith berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada sidang media Sempurna di Universal Music Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Cute pada tahun 2020 itu turut berkongsi bahawa dia tidak mahu membiarkan isterinya menguruskan anak mereka, Farrel Ali, secara bersendirian.
“Saya sedih melihat keadaan isteri yang melahirkan anak dan saya tidak mahu membiarkan dia menjaga anak kami seorang diri. Saya memilih untuk fokus memberikan isteri masa berehat dan bersama-sama menumpukan perhatian kepada pembesaran anak kami.
“Saya tidak ada panduan untuk jaga anak. Kebanyakan masa saya hanya merujuk video di YouTube dan bertanya kepada rakan-rakan yang lebih berpengalaman,” katanya.
Sementara itu, sebelum tempoh berehat tersebut, Harith yang memulakan langkah dalam industri muzik tanah air secara aktif telah menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh buah lagu selepas lagu hitsnya, cute.
Untuk rekod, Harith telah mendirikan rumah tangga bersama Nuramalina Ghani pada tahun 2021 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.










