Selepas kejayaan siri terdahulu, penyanyi dan komposer tersohor, Nizam Laksamana bakal kembali mengubati rindu peminat menerusi penganjuran ‘Showcase Jiwa Rasa: Nizam Laksamana & Kawan-Kawan (5.0)’ pada 3 Oktober depan.
Persembahan eksklusif yang menggabungkan elemen hiburan dan aktiviti amal itu dijadualkan berlangsung di Noah Ballroom, Tingkat 6, Wisma LJT, Taman Melawati. Walaupun tirai persembahan hanya akan dibuka secara rasmi pada jam 8.00 malam, namun para pemegang tiket boleh hadir seawal jam 6.30 petang bagi menikmati suasana santai yang disediakan.
Menariknya untuk edisi kelima ini, penganjuran kali ini memperlihatkan gandingan utuh atas dasar setia kawan dan kejujuran bersama sahabat yang menyokong siri ini sejak edisi 1.0 lagi. Peneraju Utama Zara Event & Management, Remy Daud bertindak sebagai ketua atau peneraju utama acara, manakala Nizam Laksamana pula memikul peranan sebagai penasihat (advisor) artistik.
Mengulas mengenai penganjuran tersebut, Nizam Laksamana menjelaskan bahawa platform seni kali ini digunakan sepenuhnya sebagai medium untuk menyebarkan manfaat dan menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya pesakit kanser kanak-kanak, komuniti autisme serta anak-anak golongan kurang upaya (OKU).
“Industri hiburan bukan sahaja berperanan menghiburkan masyarakat, malah mampu menjadi jambatan untuk menyatukan komuniti dalam menjayakan usaha-usaha kebajikan,” katanya.
Bagi memantapkan persembahan, pentas utama bakal digegarkan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air seperti Hazama, Haiza, kumpulan UNIC serta DJ Muaz. Malah, UNIC bakal menampilkan kelainan tersendiri apabila mereka diminta untuk menyampaikan rangkaian lagu-lagu popular era 90-an.

Lebih istimewa, penyanyi legenda Tam Spider dan Zamani Slam antara yang terawal menyatakan minat untuk menyertai projek ini sebagai tanda menghargai nilai sebuah persahabatan sekian lama. Kehadiran Azmani pula dibawakan khas bagi menyampaikan segmen tribute istimewa mengenang vokalis kumpulan Iklim, Allahyarham Saleem.
Selain menyasarkan peminat setia, Nizam Laksamana turut menitipkan harapan agar golongan muda atau ‘Gen Z’ turut mengambil peluang untuk hadir menyaksikan sendiri keunikan budaya persembahan, genre serta cara kerja pemuzik-pemuzik otai tanah air.
Pihak penganjur amat mengalu-alukan penglibatan aktif daripada syarikat korporat, rakan strategik dan para dermawan untuk bersama-sama menaja meja yang disediakan bagi membantu meringankan beban golongan sasar ini.
Terdapat tiga pakej meja yang ditawarkan iaitu Platinum pada harga RM10,000 (8 tempat duduk), Gold berharga RM5,000 (10 tempat duduk) dan Silver pada harga RM1,700 (10 tempat duduk) yang boleh dibeli secara dalam talian melalui platform Ticket2u bermula hari ini.










