Raja Atiq tegur sikap pelakon ‘pilih bulu’ di set penggambaran - Utusan Malaysia

Raja Atiq tegur sikap pelakon ‘pilih bulu’ di set penggambaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Raja Atiq tampil memberi teguran halus kepada seorang pelakon yang didakwa bersikap ‘pilih bulu’ ketika bergaul di lokasi penggambaran.

Kata Atiq, niatnya hanya sekadar mahu mencipta keserasian dengan rakan gandingan, namun hairan apabila pelakon tersebut bersikap tidak acuh apabila disapanya.

“Saya datang ke set dengan niat untuk bekerja. Tetapi ada segelintir individu yang hadir ke set, saya tidak pasti bagaimana perasaan atau cara mereka berfikir.

“Mungkin kerana dia mempunyai aura sebagai bintang, mempunyai ramai peminat dan pengikut media sosial, itu tidak menjadi masalah. Saya hormati perkara itu.

“Namun, sikap yang ditunjukkan langsung tidak seiring dengan imej yang dibawa. Saya datang ke set untuk bekerja, membina keserasian, bekerjasama dan menjayakan sesuatu. Bukannya untuk melayan ego sesiapa.

“Apabila seseorang itu terlalu memilih dengan siapa dia mahu bergaul, dia akan memilih orang tertentu untuk diajak berbual. Malah, riak wajahnya juga boleh berubah secara automatik,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.

Tidak memetik nama mana-mana individu, Atiq turut menyifatkan pelakon tersebut seolah tidak profesional kerana mampu melayan artis lain dengan baik.

“Dia boleh berbual mesra dengan rakan-rakannya, tetapi apabila saya datang untuk menegur, wajahnya terus berubah. Selepas itu dia kembali berbual dengan orang lain dan kelihatan ceria semula.

“Apa salah saya? Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan pun. Bukan saya mahu mengganggu atau menyusahkan sesiapa. Marilah kita bersikap mesra. Apabila berada di set, semestinya perlu ada keserasian sesama rakan kerja.

“Walaupun saya tidak mempunyai babak bersama awak atau tidak banyak urusan dengan awak, itu bukan sikap profesional. Pada saya, itu lebih kepada tingkah laku yang lahir daripada rasa tidak yakin diri,” jelasnya.

Pun begitu, pelakon drama Nur itu turut menegur sikap artis tersebut supaya menghormati rakan sekerja yang lain dan tidak terlalu memilih dalam berkawan supaya proses penggambaran berjalan dengan lancar.

“Tenanglah. Kita bekerja di tempat yang sama. Tiada siapa yang lebih besar daripada kerja yang sedang kita lakukan. Ya, awak mungkin boleh memiliki segala yang diinginkan. Ramai pengikut, ramai peminat, sangat terkenal dan menjadi perhatian ramai.

“Tetapi jika rasa hormat yang paling asas pun tidak ada, itu sesuatu yang perlu difikirkan. Mungkin orang seperti saya dapat melihat sikap itu secara langsung. Tetapi apabila orang lain mula menyedarinya, cepat atau lambat perkara itu akan diketahui juga.

“Tidak salah untuk menjadi seorang bintang. Tetapi apabila berada di tempat kerja atau di set penggambaran, berikanlah sedikit ruang dan penghormatan kepada orang yang bekerja bersama awak.

“Jika perkara asas seperti itu pun sukar untuk dilakukan, saya sendiri tidak tahu apa lagi yang boleh dikatakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN