Orang politik lawanlah secara politik, jangan guna saya sebagai perisai - Ajak - Utusan Malaysia

Orang politik lawanlah secara politik, jangan guna saya sebagai perisai – Ajak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio, Mohd Hanaffi Razak,40, atau lebih dikenali sebagai Ajak, meluahkan rasa kesal apabila namanya dikaitkan dalam polemik politik susulan tular semula video lama membabitkan dirinya di media sosial.

Menurut Ajak, dia bukan individu yang gemar mencampuri urusan politik dan berharap mana-mana pihak tidak menjadikan dirinya sebagai ‘perisai’ dalam perseteruan politik.

“Saya sebenarnya orang yang tak nak masuk campur hal orang. Tapi bila baru-baru ini mereka naikkan semula isu saya dan gunakan video lama itu dan saya rasa saya bukan orang politik.

”Jadi, kalau mereka orang politik, berlawanlah secara politik. Janganlah gunakan saya sebagai perisai.

“Kalau guna saya sebagai perisai, saya rasa benda itu kurang elok. Sebab yang diambil hanya cerita awal sedangkan cerita itu sudah ada penghujungnya. Jadi, saya rasa naratif itu sengaja dimainkan supaya orang keliru,”katanya.

Ajak berkata demikian ketika ditemui di Pentas Komedi Panggung Suria yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, semalam.

Selain itu, Ajak berkata, dia mengganggap perkara itu tidak wajar diungkit kembali memandangkan dia dan sahabatnya, Shahrol Shiro juga sudah bermaafan.

“Saya tak kisah pun kalau orang nak cari buah yang busuk, tetapi kena beritahu juga ada buah yang elok masih tergantung di dahan. Maksudnya, perkara itu sudah pun selesai. Kami sudah bermaafan. Bila saya dah maaf, saya dah lupakan dan saya dah move on,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Shahrol yang dimuat naik di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen, Ajak berkata dia tidak mampu mengawal tanggapan orang ramai terhadap perkara itu.

“Apa yang orang nak cakap kita tak boleh kawal. Saya sendiri nak khabarkan kepada semua, kita ini manusia biasa, memang ada rasa marah. Tapi macam saya kata tadi, bila saya dah marah, saya dah maafkan. Bila dah maafkan, saya dah lupakan.

“Jadi bila saya jumpa kawan saya itu, dia sama sahaja macam biasa. Saya rasa sebenarnya tak ada isu nak kata Shahrol guna saya atau apa-apa.

“Kalau pun Shahrol berniat begitu, saya jujur saja, saya datang sebab nak jumpa dia. Sebab saya tak faham sangat politik. Politik ini muka senyum-senyum tapi mereka tak berkawan.

“Ada yang depan-depan tak senyum, rupanya di belakang berkawan. Sebab itulah saya rasa saya tak sesuai berada di pentas itu,” katanya.

Ditanya sama ada akan mempertimbangkan untuk menceburi bidang politik pada masa hadapan, Ajak berkata dia mengakui setiap rakyat perlu memahami politik, namun menegaskan tidak pernah bercita-cita untuk memperjuangkan mana-mana parti.

“Tak boleh kita cakap tak akan sebab politik ini salah satu medium untuk pastikan negara bergerak dan bagaimana negara menjaga sesetengah pihak. Jadi sebagai orang dewasa, kita kena tahu politik.

“Tapi untuk terjun dan memperjuangkan mana-mana parti, itu bukan cita-cita saya. Tapi tak bermakna saya tak sayangkan bangsa atau negara saya.

“Kalau nak cakap pasal sayangkan negara, umur saya 18 tahun saya dah pegang senapang. Saya dah jaga Labuan waktu itu. Walaupun saya lahir di Johor, saya bertugas di Labuan sebelum dipindahkan ke Sarawak ketika bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Jadi orang tak boleh pertikai kesetiaan saya kepada negara. Cuma saya tak boleh teruskan dalam bidang politik,” katanya.

Terdahulu, wujud individu menggunakan akaun Jebat Derhaka 2026 di Threads yang memuat naik kembali hantaran video temu bual Ajak bersama sebuah portal hiburan ketika dia didakwa sedang berbalah dengan Shahrol Shiro.

Potongan video tersebut dipercayai sengaja dimuat naik di media sosial kembali bagi mengeruhkan keadaan terutama ketika Shahrol kini sedang giat berada dalam dunia politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN