Menjadi seorang aktres bukan sekadar perlu pandai berlakon. Dalam dunia yang semakin pantas menghukum, golongan selebriti juga perlu belajar berdepan kritikan, persepsi dan pelbagai tanggapan yang tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar kehidupan mereka.
Bukan apa, kerana pada hari ini, sesiapa sahaja boleh menjadi pengkritik. Dengan hanya beberapa sentuhan jari di telefon pintar, seseorang boleh melontarkan pandangan, memberikan penilaian, malah menjatuhkan hukuman terhadap individu yang tidak pernah mereka kenali secara peribadi.
Golongan selebriti antara yang paling terdedah kepada situasi tersebut. Bagi pelakon muda yang semakin menyerlah, Harissa Adlynn Halim, 23, dunia seni yang dipilihnya bukanlah tentang kemewahan atau populariti semata-mata.
Sebaliknya, ia adalah sebuah perjalanan yang menuntut disiplin, kesabaran dan keikhlasan untuk terus belajar menjadi lebih baik setiap hari. Disebabkan itu, Harissa sedar, kritikan dalam dunia hiburan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Bahkan, tidak semua kritikan harus ditolak mentah-mentah. Ini kerana, teguran yang dibuat dengan niat yang baik boleh menjadi pemangkin untuk seseorang artis terus berkembang. Itu pandangannya.
“Saya tidak pernah menganggap semua kritikan sebagai sesuatu yang negatif.Malah ada kalanya apabila saya menonton semula drama atau karya yang pernah saya jayakan, saya sendiri akan berfikir, ‘kalau diberi peluang sekali lagi, mungkin saya boleh lakukan dengan lebih baik.’
“Sebab itu, kalau ada komen yang benar-benar membina dan boleh membantu saya memperbaiki kelemahan, saya akan terima dengan hati terbuka.Saya rasa sebagai pelakon, kita perlu sentiasa bersedia untuk belajar dan memperbaiki diri. Tidak mungkin kita boleh memuaskan hati semua orang, tetapi kita boleh berusaha untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.
Bagaimanapun, Harissa mengakui terdapat perbezaan besar antara kritikan dan penghinaan.
“Kalau komen itu dibuat secara beradab dan ada tujuan untuk membantu, saya boleh terima.Tetapi apabila ia bertukar menjadi kata-kata kesat, penghinaan atau serangan peribadi, itu sudah bukan lagi kritikan.
“Kadang-kadang ada orang yang bercakap seolah-olah mereka lupa bahawa individu yang mereka komen itu juga manusia biasa yang mempunyai perasaan. Bagi saya, perkara seperti itu sudah menghampiri budaya buli siber yang semakin membimbangkan hari ini,” katanya.

Mengulas persepsi masyarakat terhadap kerjaya artis, Harissa mengakui ramai yang hanya melihat sisi indah industri hiburan. Sedangkan hakikatnya, kehidupan seorang pelakon tidak jauh berbeza daripada pekerja dalam bidang lain.
“Orang ramai nampak kami di televisyen, menghadiri acara hiburan atau memuat naik gambar di media sosial. Mereka nampak bahagian yang cantik dan menyeronokkan.
“Tetapi mereka tidak nampak hari-hari yang panjang di lokasi penggambaran, tidak cukup tidur, tekanan untuk menghabiskan babak mengikut jadual dan pelbagai cabaran lain yang berlaku di belakang kamera.
“Ada masanya kami bekerja lebih 12 jam sehari. Walaupun penat, kami tetap perlu memberikan persembahan terbaik kerana itu adalah tanggungjawab kami kepada penonton.
“Saya rasa setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri. Jadi, apabila ada yang mengatakan kerja pelakon mudah atau hidup kami sentiasa senang, saya rasa itu tidak begitu tepat,”ujarnya.
Tambahnya, masyarakat berhak memberikan pandangan, tetapi mereka juga perlu memahami bahawa setiap bidang mempunyai kesukaran yang tidak semestinya kelihatan di mata umum.

ISU HALAL HARAM
Selain itu, Harissa turut diminta mengulas pandangan sesetengah pihak yang sering mempertikaikan kerjaya artis serta sumber pendapatan golongan selebriti. Menurutnya, isu tersebut sangat sensitif dan tidak boleh dibincangkan secara simplistik.
“Kita perlu berhati-hati apabila bercakap tentang soal halal dan haram rezeki seseorang. Pada akhirnya, kita tidak mengetahui keseluruhan kehidupan seseorang. Kita tidak tahu niat mereka, bagaimana mereka bekerja dan apa yang mereka lakukan di sebalik apa yang kita nampak.
“Saya sendiri memilih bidang ini kerana saya mencintai seni lakonan. Saya suka berkarya dan saya bersyukur kerana melalui pekerjaan ini saya dapat membantu keluarga serta membina kehidupan yang lebih baik.Itu niat saya sejak awal.
“Sebab itu, saya rasa tidak adil jika seseorang membuat kesimpulan terhadap keseluruhan industri hanya berdasarkan persepsi atau pengalaman tertentu,”katanya.
Tambah Harissa, setiap individu mempunyai tujuan yang berbeza apabila memilih kerjaya masing-masing.
“Ada yang memilih sesuatu pekerjaan kerana minat, ada yang mahu menyara keluarga dan ada yang punyaimatlamat hidup yang berbeza. Jadi, saya rasa kita perlu lebih berhati-hati sebelum membuat penilaian terhadap orang lain,” ujarnya.

MENEGUR ADA CARANYA
Dalam pada itu, Harissa percaya setiap orang berhak menyuarakan pandangan masing-masing.Namun, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina atau menjatuhkan maruah orang lain.
“Media sosial memang platform untuk kita berkongsi pendapat. Saya sendiri kadang-kadang berkongsi pandangan tentang sesuatu perkara. Tetapi saya percaya cara penyampaian itu sangat penting.
“Kalau kita mahu menegur, tegurlah dengan baik. Kalau kita mahu menyampaikan pandangan, sampaikanlah dengan berhemah.
“Kadang-kadang niat asal mungkin baik, tetapi jika cara penyampaiannya salah, ia boleh mengundang lebih banyak kebencian dan permusuhan. Sebab itu saya rasa kita perlu sentiasa berhati-hati dengan kata-kata yang kita gunakan,”ujarnya.
Sebagai pelakon yang sedang membina nama dalam industri, Harissa mengakui dirinya masih berada dalam fasa pembelajaran. Dia tidak menafikan masih ada banyak perkara yang perlu diperbaiki dan diterokai.
“Saya tidak pernah menganggap diri saya sudah sempurna. Saya masih belajar dan masih mencari pengalaman.
“Kalau ada kekurangan dalam lakonan saya, saya akan cuba memperbaikinya. Kalau ada kelemahan, saya akan berusaha untuk menjadi lebih baik.
“Saya rasa semua orang bermula dari bawah. Tidak ada siapa yang terus menjadi hebat dalam sekelip mata. Jadi, saya harap masyarakat dapat memberi ruang kepada pelakon-pelakon muda untuk berkembang.
“Insya-Allah, dengan pengalaman dan usaha yang berterusan, kami akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai wataknya sebagai Nilam dalam Isteri Rahsia Ungku Jabar, Harissa mengakui ia merupakan antara karakter paling mencabar dan berbeza yang pernah dibawakannya.
Bagaimanapun Harissa berkata, dia tertarik dengan jalan cerita yang diadaptasi daripada sebuah novel itu.
“Saya memang gemar membaca novel. Jadi, apabila ditawarkan untuk membintangi drama yang diadaptasi daripada karya novel, saya biasanya lebih berminat untuk menerokainya. Selepas membaca novel Isteri Rahsia Ungku Jabar, saya merasakan jalan ceritanya sangat menarik.
“Kebanyakan watak yang pernah saya lihat atau bawa sebelum ini lebih kepada wanita yang lembut dan sering menjadi mangsa keadaan. Nilam pula seorang wanita yang berani, spontan dan mempunyai pendirian kuat. Ia sesuatu yang sangat segar untuk saya sebagai pelakon,” katanya.
Harissa turut mengakui dia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan karakter tersebut pada awal penggambaran.
“Pada hari-hari pertama penggambaran, saya agak bergelut untuk memahami cara Nilam berfikir. Pengarah meminta saya lebih spontan dan tidak terlalu bergantung kepada skrip kerana itulah sifat sebenar Nilam. Selepas beberapa ketika, saya mula memahami rentaknya dan ternyata ia sangat menyeronokkan,” katanya.
Jelas Harissa, karakter Nilam yang unik, berani dan penuh kejutan menjadi faktor utama yang membuatkan dia menerima tawaran untuk membintangi drama tersebut.









