Natijah Cinta pertaruhan baharu Ryzall Noh - Utusan Malaysia

Natijah Cinta pertaruhan baharu Ryzall Noh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Singapura, Ryzall Noh, kembali mewarnai industri muzik serantau menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul Natijah Cinta.

Lagu tersebut menjadi kesinambungan perjalanan seninya sebagai penyanyi solo selepas menamatkan perjalanan bersama kumpulan Audionauts yang pernah mencipta nama sekitar tahun 2010 hingga 2017.

Sepanjang bersama Audionauts, Ryzall pernah meraih pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2013, Lagu Tertinggi Royalti di Anugerah Compass Singapura sebanyak dua kali serta Artis Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik 2015.

Menurut Ryzall, Natijah Cinta mengangkat kisah realiti sebuah hubungan yang berubah seiring waktu sehingga janji yang pernah dibina bersama akhirnya runtuh tanpa disedari.

“Natijah membawa maksud keputusan, kesimpulan atau akibat daripada sesuatu tindakan. Lagu ini bukan sekadar berkisarkan cinta, tetapi turut menyentuh soal kekecewaan, kehilangan dan penerimaan terhadap perubahan manusia.

“Saya percaya ramai pendengar boleh mengaitkan kisah dalam lagu ini dengan pengalaman hidup masing-masing kerana ada kalanya insan yang paling rapat dengan kita akhirnya menjadi orang asing,” katanya.

Mengulas mengenai karya tersebut, Ryzall mengakui tertarik dengan kekuatan melodi dan lirik yang disifatkannya mudah dihayati serta sarat emosi.

“Antara perkara yang paling saya gemari ialah melodinya yang mudah dihadam selain bahagian korus yang cukup melekat di ingatan. Keseluruhan lagu ini hadir dengan emosi yang jujur dan organik.

“Pendengar juga akan dapat merasai gabungan elemen pop rock bersama sentuhan bunyian era 90-an yang digabungkan dengan pendekatan moden,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ryzall berkata cabaran utama sepanjang proses rakaman adalah memastikan penyampaian emosi yang tepat agar lagu tersebut tidak kedengaran terlalu teknikal atau kosong daripada penghayatan.

“Saya sangat menitikberatkan aspek emosi dalam nyanyian. Selain pengurusan masa dan kesihatan, saya turut memberi perhatian terhadap tona suara yang sesuai bagi memastikan mesej lagu dapat disampaikan dengan berkesan.

“Proses rakaman dan produksi juga melibatkan banyak eksperimen dari segi susunan muzik serta pencarian tona vokal yang benar-benar saya mahukan,” katanya.

Ryzall turut menzahirkan penghargaan kepada Yazri Malik yang bertindak sebagai komposer bersama bagi menghasilkan Natijah Cinta.

Katanya, kerjasama mereka berjalan lancar kerana kedua-duanya berkongsi visi yang sama dalam menghasilkan identiti muzik yang unik dan berbeza menerusi karya tersebut.

Pada masa sama, penyanyi itu berharap Natijah Cinta dapat menjadi pembuka jalan untuk memperkukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran muzik Malaysia.

“Malaysia sentiasa dekat di hati saya. Saya juga kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur dan Johor. Harapan saya agar lagu ini dapat menjadi jambatan untuk lebih ramai pendengar Malaysia mengenali muzik serta perjalanan seni saya.

“Apa yang penting, saya berharap lagu ini diterima dengan baik oleh semua pendengar tanpa mengira latar belakang. Bagi saya, Natijah Cinta ialah sebuah kisah patah hati yang diterjemahkan dalam bentuk lagu,” katanya.

Ryzall turut merakamkan penghargaan kepada peminat di Malaysia yang tidak pernah putus memberikan sokongan terhadap karya-karyanya selama ini.

Single Natijah Cinta kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital termasuk Spotify dan YouTube.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN