Nasihat M Nasir jadi pegangan Tam Spider setiap kali beraksi di pentas - Utusan Malaysia

Nasihat M Nasir jadi pegangan Tam Spider setiap kali beraksi di pentas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Vokalis kumpulan Spider, Tam, mengakui nasihat daripada penyanyi veteren, Datuk M Nasir menjadi pegangannya setiap kali membuat persembahan di pentas sepanjang bergelar penyanyi.

Tam atau Rustam Mustafah, 53, berkata, M. Nasir ada memberikan nasihat sewaktu dia mula-mula bergelar penyanyi dan sedang buntu memikirkan cara berinteraksi bersama dengan peminat.

“Dulu saya pernah tanya pada M Nasir sewaktu mula-mula kena jadi penyanyi. Saya tanya dia, ‘Abang, macam mana saya mahu cakap depan khalayak ramai?’.

“M Nasir pesan satu benda kepada saya. Dia kata, ‘Kalau awak tak boleh cakap, awak jangan cakap. Awak menyanyi sahaja’. Bagi saya, itulah jawapan yang paling terbaik,” katanya.

Tam berkongsi perkara berkenaan semasa Sidang Media Konsert Spideraya di Banglo 289, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, mengambil iktibar daripada dua konsert lalu, Tam mengakui bahawa aspek komunikasi di atas pentas sentiasa menjadi cabaran paling besar buatnya.

“Daripada konsert sebelum ini, saya belajarlah untuk bercakap sedikit demi sedikit. Sebab itu memang masalah saya. Bila mahu bercakap, saya takut orang bosan. Jadi sebab itu saya menyanyi sahaja.

“Bukan gementar, saya tiada masalah itu. Cuma ayat saya ini jenis berterabur.

“Kita ini ‘mat rock’, bercakap pula kan? Takut kalau salah cakap, nanti ada yang tersinggung. Tetapi, demi peminat, saya cubalah juga untuk bercakap sedikit demi sedikit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Spider bakal menggegarkan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 September depan sempena ulangtahun yang ke-30 mereka.

Membawakan konsep ‘perayaan’, konsert Spideraya anjuran B7 Resources Sdn Bhd itu turut menampilkan empat anggota kumpulan Spider iaitu Tam, Aie, Iss dan Pown.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN