Masih belum sihat, Shahronizam ikhtiar kimoterapi, berubat kampung - Utusan Malaysia

Masih belum sihat, Shahronizam ikhtiar kimoterapi, berubat kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shahronizam Mohd Said mendedahkan dia kini sedang menjalani rawatan susulan termasuk radioterapi dan perubatan tradisional bagi menangani kanser tulang yang dihidapinya sejak tahun lalu.

Sharonizam Mohd Noor, 57, berkata, meskipun fizikalnya kelihatan sihat pada luaran, Sharonizam mengakui keadaan kesihatannya agak terhad akibat implikasi pembedahan memotong tulang yang dilakukan sebelum ini.

“Saya menghidap kanser tulang dan kini masih di bawah rawatan. Kanser ini kalau mengikut penjelasan doktor, untuk betul-betul keluar dari zon bahaya atau disahkan bebas sepenuhnya, ia memerlukan tempoh masa selama lima tahun.

“Jika dalam tempoh lebih lima tahun itu tiada apa-apa komplikasi yang berlaku, InsyaAllah semuanya baik. Tetapi, memandangkan keadaan saya baru setahun lebih, jadi, sekarang ini memang masih ada rawatan susulan yang perlu dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sharonizam berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui dalam majlis pelancaran dan tayangan perdana, Viu Original, drama bersiri berjudul Bidadari Tanpa Syurga di ibu negara, hari ini.

Sharonizam berkata, fizikalnya kini agak kurang berupaya berbanding dahulu ekoran prosedur pemotongan sebahagian tulang tersebut.

“Disebabkan ada bahagian tulang yang dipotong, keupayaan fizikal saya menjadi agak kurang sedikit. Kalau orang melihat luaran, nampak saya macam okey sahaja, tetapi sebenarnya hanya badan kita sendiri yang tahu bagaimana tahap kesihatan sebenar,” katanya.

Tambah Sharonizam, dia mengakui tidak hanya bergantung kepada kaedah perubatan moden di hospital semata-mata tetapi turut menggunakan alternatif rawatan tradisional sebagai salah satu ikhtiar.

“Sebab rakan saya telefon dan dia sendiri sudah bersusah payah untuk saya, jadi saya ambil keputusan untuk pergi ke Kelantan selama tiga ke empat hari. Dia uruskan semua perkara termasuk menyediakan penginapan di hotel miliknya di Kota Bharu serta urusan pengangkutan untuk pergi berubat.

“Saya memang rasa terharu kerana ada kawan-kawan yang sanggup bersusah-senang dengan saya dan memudahkan urusan saya, Alhamdulillah. Setakat ini rawatan kampung itu kami hanya menggunakan air penawar sahaja sebagai ikhtiar,” katanya.

Dalam pada itu, Sharonizam memaklumkan dia dijadualkan menjalani ujian Imbasan Tomografi Berkomputer  ‘CT Scan’ pada 9 Julai depan bagi melihat perkembangan terbaharu sel kanser berkenaan sebelum bertemu pakar onkologi pada 22 Julai.

“Minggu lepas, pakar onkologi ada cadangkan untuk saya buat kimoterapi, tetapi rawatan ini ada kesan sampingannya sendiri seperti keguguran rambut. Doktor sendiri pesan kalau sudah mula kimoterapi dan ada tawaran berlakon selepas ini, carilah watak yang tidak mempunyai rambut.

“Rawatan ini akan mengambil masa selama enam bulan kerana setiap kitaran memerlukan saya berada di hospital selama lima hari dan diselangi rehat tiga minggu sebelum kitaran seterusnya. Jadi kalau saya sudah mula kimoterapi, agak payah sedikit untuk saya bekerja dan menerima tawaran berlakon,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN