BUKIT JALIL: Enggan melatah apabila kemenangan anaknya, Anggrek dalam pertandingan Talk To My Manager 2 (TTMM2) dipertikai, penyanyi, Adira Suhaimi mengakui dirinya tidak ambil hati, sebaliknya berlapang dada.
Kata Adira, kemenangan yang diraih puteri kesayangannya itu disifatkan sebagai rezeki selepas berhempas pulas melakukan persembahan terbaik pada malam pertandingan.
“Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki Anggrek. Setiap orang ada rezeki masing-masing. Jika ada netizen yang mempertikaikan keputusan tersebut, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana keputusan dibuat oleh juri profesional.
“Saya menerima dengan hati yang terbuka. Saya faham bukan semua orang akan berpuas hati, bukan semua orang akan suka atau bersetuju dengan sesuatu keputusan.
“Apa yang penting, dia sudah memberikan yang terbaik dan melakukan apa yang termampu. Jika ada yang menyukai persembahannya, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, saya tidak terlalu mengambil hati,” katanya
Adira berkata demikian ketika ditemui pada program MeleTOP yang berlangsung di Studio 1, Astro Bukit Jalil, pada Selasa.
Dalam masa sama, Adira juga sempat mengulas tanggapan sesetengah pihak yang menyentuh soal agama dengan menganggap Anggrek telah didedahkan dengan ‘maksiat dunia’ pada usia yang terlalu muda.
“Sebagai seorang ibu, saya tahu bagaimana untuk mencorakkan kehidupan anak saya. Saya juga berharap orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat Anggrek.
“Bagi saya, nyanyian adalah minat dan hobinya. Sebagai ibu, saya perlu menyokong apa yang diminatinya. Tidak mungkin saya mahu menghalangnya jika dia benar-benar meminati bidang tersebut.
“Saya akan sentiasa berada di belakangnya selagi perkara yang dilakukannya tidak memudaratkan dirinya. Pada masa sama, saya tetap akan memastikan keseimbangan antara agama, pelajaran dan minatnya,” jelasnya.
Bagi mengelakkan Anggrek terdedah dengan komen negatif, penyanyi lagu Sayang Orang Yang Sama itu mengambil pendekatan untuk mengawal penggunaan media sosial anaknya agar perjalanannya dalam industri berjalan lancar.
“Saya tidak membaca setiap komen secara terperinci, tetapi kadang-kadang ada juga perkara yang sampai kepada saya melalui orang sekeliling. Sebelum menyertai program ini lagi saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan.
“Saya sendiri pernah melalui fasa dikenali dan berdepan pelbagai komen daripada orang ramai. Bagi saya dan Anggrek, kami tidak mahu terlalu memikirkan perkara negatif kerana masih ramai yang memberikan sokongan dan kata-kata positif.
“Yang baik kita ambil, manakala yang buruk kita ketepikan. Saya memang mengawal penggunaan media sosialnya. Pada masa sama, saya rasa dia juga seorang anak yang memahami bagaimana media sosial berfungsi,” ujarnya.










