KUALA LUMPUR: Penyanyi, Iman Troye meluahkan rasa terharu apabila diberi peluang untuk beraksi di Siri Spotlight KLCC yang bertempat di Plenary Theatre Kuala Lumpur Convention Centre, pada 12 September ini.
Iman atau Siti Nur Alyssa Sahabudin, 24, berkata, kemunculannya di pentas berprestij itu merupakan showcase pertamanya secara solo selepas lapan tahun mencipta nama dalam industri muzik tanah air.
“Sebelum ini, jika saya menghadiri sebarang konsert, saya selalu terfikir seronoknya andai suatu hari ada peluang untuk buat konsert sendiri. Bagai doa yang termakbul, saya berasa bersyukur diberi kesempatan untuk menjayakan siri konsert ini.
“Ini ibarat showcase pertama saya secara solo. Sebelum ini saya pernah terlibat dalam sebuah showcase tetapi itu secara beramai-ramai dengan kawan-kawan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Iman, dia berasa sangat beruntung apabila dipelawa penyanyi, Imran Ajmain yang juga merupakan kurasi siri persembahan langsung berskala intim tersebut.
“Apabila Imran Ajmain menghubungi pihak pengurusan saya untuk menawarkan showcase ini, saya berasa sangat teruja. Showcase ini ibarat kita menonton wayang.
“Malah, ada pilihan masa pertunjukan. Peminat tinggal pilih saja untuk menonton showcase yang mana satu. Apa yang lebih menarik, suasana di dewan itu sendiri berbeza.
“Memandangkan ini showcase pertama saya, tambah pula saya seorang saja Gen Z yang diberi peluang untuk berada di pentas itu. Saya sangat teruja,” kongsinya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Nang itu turut berharap persembahannya nanti mampu memberikan seribu kemanisan dalam memori peminat setianya.
“Saya anggap tugasan ini sebagai tanggungjawab yang besar kerana pentasnya juga besar. Saya harap mereka yang membeli tiket untuk menonton persembahan saya pulang dalam keadaan manis,” katanya lagi.
Selain Iman, siri pertama Spotlight KLCC yang dikurasi oleh HiFive Entertainment ini juga dibarisi penyanyi hebat tanah air seperti, Noryn Aziz, Imran Ajmain, Aizat Amdan, SOG dan Orked Farhan.










