Gelaran Biduan Negara itu ketentuan Allah, kalau tidak dapat pun saya okey - Jamal Abdillah - Utusan Malaysia

Gelaran Biduan Negara itu ketentuan Allah, kalau tidak dapat pun saya okey – Jamal Abdillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA: Penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah menganggap cadangan untuk memberikan pengiktirafan tertinggi sebagai Biduan Negara adalah pencapaian bonus terhadap kerjayanya sepanjang bergelar anak seni.

Menurut Jamal, dia tidak menolak andai suatu hari nanti dianugerahkan pengiktirafan tersebut, malah menyerahkan segalanya pada ketentuan Sang Pencipta.

“Bagi saya, anugerah atau gelaran itu adalah ketentuan Tuhan. Kalau Allah mahu berikan kepada saya, saya terima dengan penuh syukur. Kalau tidak dapat pun saya okey. Saya akan tetap meneruskan perjuangan seni saya seperti biasa,” katanya.

Jamal berkata demikian pada sidang media Datuk Jamal Abdillah (DJA) Show: Siri Muzikal Aku Jamal: Suara Emas Digital di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pada Khamis.

Turut hadir memberikan sokongan, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Raja Pop Malaysia itu bagaimanapun mengakui dirinya lebih senang andai dikenang sebagai penghibur yang mampu menggamit pelbagai memori lalu setiap kali mendengar nyanyiannya.

“Saya mahu orang ramai apabila dengar lagu saya mereka rasa tenang. Saya mahu mereka mengimbau nostalgia yang lalu. Itu tujuan saya.

“Ada sahaja koleksi lagu saya yang sudah tercapai seperti Keluhan Perantau dan Nadi Cinta yang buat mereka terkenang momen ketika merantau dan zaman mereka dahulu.

“Itu tujuan saya menyanyi untuk menghiburkan hati insan yang ada. Bukan kerana popular, saya tidak suka popular. Bukan juga kerana wang ringgit. Kerana nyanyian saya dari hati yang suci dan ingin menyanyi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Jamal bakal mempersembahkan lebih 98 buah lagu dalam program 13 episod, DJA Show Siri Muzikal Aku Jamal: Suara Emas Digital, selain turut menampilkan beberapa artis jemputan.

Program tersebut akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV2 selama 13 minggu berturut-turut bermula pada Julai depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN